oleh Editorial KampusKini
JELI – Seramai 867 mahasiswa baharu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli disantuni Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMK Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dalam sesi ramah mesra di Dewan Utama UMK Kampus Jeli, semalam.
Sesi berkenaan berlangsung selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat LPU dan dihadiri barisan pengurusan tertinggi universiti serta wakil Senat.
Hassan Basri, yang dilantik semula sebagai Pengerusi LPU berkuat kuasa 21 September lalu, berkata kesibukan pengurusan universiti tidak menghalang pihaknya untuk meluangkan masa bersama mahasiswa baharu bagi memahami pengalaman serta keperluan mereka.
Beliau berkata pembangunan universiti perlu dilaksanakan secara bersama tanpa terlalu bergantung kepada hierarki, dengan setiap warga mempunyai peranan dalam membangunkan UMK.
“Keberadaan di universiti bukan berasaskan hierarki, sebaliknya secara horizontal, di mana semua pihak mempunyai peranan yang sama untuk membangunkan UMK.
“Proses ilmu juga tidak terhad kepada profesor dan dekan di dalam bilik kuliah sahaja, malah berlaku secara tidak rasmi di mana-mana termasuk di kolej kediaman,” katanya.
Beliau turut menggalakkan mahasiswa membina jaringan persahabatan dengan rakan daripada pelbagai negeri memandangkan UMK menghimpunkan mahasiswa dari seluruh negara.
Hassan Basri berkata kebajikan mahasiswa dan warga kerja serta pembangunan kerjaya kedua-dua kumpulan itu sentiasa menjadi antara agenda yang diberi perhatian dalam mesyuarat LPU bersama wakil Senat.
“Saya mahu mahasiswa dapat bersama pengurusan universiti secara dalaman sekiranya ada masalah dan dapat diselesaikan secara berhemat bersama, bukannya dibawa ke luar.
“Saya juga minta pelajar peka dengan rakan-rakan yang menghadapi masalah demi konsep ‘satu hati satu jiwa’,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMK Datuk Prof Ir Ts Dr Arham Abdullah menyeru mahasiswa baharu memanfaatkan peluang menimba ilmu, membina pengalaman dan mengembangkan jaringan sepanjang berada di universiti.
Beliau berkata konsep UMK4U – 1 Hati, 1 Jiwa mencerminkan semangat kebersamaan dalam kalangan mahasiswa, pensyarah, pegawai dan seluruh warga universiti tanpa mengira latar belakang.
“Melalui budaya satu hati, warga kampus diharapkan dapat memberikan yang terbaik untuk UMK, manakala satu jiwa pula bagi menjaga nama baik, kecemerlangan universiti serta saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Kelantan (UMK)


Leave a Reply