Chen Long ( lima dari kanan) melawat HONOR AI Lab di Perpustakaan Tuanku Bainun, Kampus Sultan Sultan Abdul Jalil Shan Rabu lalu.
oleh Ghazali Din
Tanjong Malim — Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi perpustakaan akademik pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan makmal kecerdasan buatan (AI) bertaraf industri secara “fully-equipped” .
Majlis penyerahan dan menandatangani dokumen berkenaan disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff bersama Ketua Pegawai Eksekutif HONOR, Chen Long, serta disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata langkah berani ini sekali gus memacu pemerkasaan penggunaan makmal AI dalam pendidikan tinggi negara ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau berkata penubuhan makmal yang dinamakan HONOR AI Lab@UPSI itu direalisasikan menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) selama dua tahun antara UPSI dan HONOR Technology (Malaysia) Sdn Bhd. yang ditandatangani Rabu lalu di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
Menerusi penajaan bernilai RM400,000 daripada pihak HONOR, katanya, kemudahan makmal AI dalam pendidikan ini ditempatkan di Perpustakaan Tuanku Bainun serta diuruskan secara teknikal oleh Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) UPSI.
Dr Md Amin berkata Makmal AI di perpustakaan ini bukan sahaja akan menjadi pusat latihan dan penyelidikan bagi warga UPSI, malah akan dibuka kepada komuniti luar untuk merasai pengalaman pembelajaran berasaskan teknologi masa depan.
“Kemudahan ini juga menonjolkan sifat akses terbuka apabila perkhidmatannya tidak terhad kepada warga universiti semata-mata, malah dibuka kepada pelajar sekolah, masyarakat sekitar, jabatan kerajaan serta pihak industri yang mahu memanfaatkan kemudahan AI bertaraf tinggi.
“Pendekatan inklusif ini berupaya melahirkan generasi yang celik AI serta berkeupayaan mengaplikasikan teknologi canggih bagi mempercepatkan pelbagai urusan seharian masyarakat,” katanya.
Menurut beliau integrasi makmal AI dalam pendidikan menerusi persekitaran perpustakaan akademik merupakan langkah strategik untuk memperluas akses teknologi moden serta merapatkan jurang antara teori akademik dan aplikasi industri.
Katanya, inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang kepada warga UPSI, malah membuka ruang kepada pelajar luar, masyarakat setempat dan sektor industri untuk memperkasa kemahiran digital serta menjalankan penyelidikan impak tinggi.
Ketua Pustakawan, Noriha Muhammad berkata peranan utama makmal AI dalam pendidikan di PTB merangkumi Pengajaran dan Pembelajaran Interaktif yang mengintegrasikan peralatan komputeran AI dan alat pembangunan (development tools) tajaan HONOR secara praktikal.
Katanya, ia juga membolehkan pelajar luar, agensi kerajaan dan entiti industri mengakses kemudahan AI bertaraf tinggi untuk pemindahan ilmu serta kolaborasi strategik serta menjadi hab Pembangunan Bakat iaitu sebagai pusat latihan, bengkel, program pensijilan profesional, latihan industri, dan pertandingan inovasi berasaskan projek.
Beliau berkata ia turut menjadi platform untuk penyelidik dan pakar industri membangunkan penyelesaian digital yang relevan dengan ekonomi masa hadapan.
“Penempatan makmal AI di persekitaran perpustakaan akademik ini membawa keunikan dan keistimewaan tersendiri berbanding makmal fakulti konvensional,” katanya.
Antara daya tarikan utama kemudahan ini ialah waktu operasinya yang panjang sehingga jam 10.00 malam, sekali gus memberikan fleksibiliti masa kepada pengguna untuk menjalankan latihan, penyelidikan dan eksplorasi teknologi tanpa terikat dengan jam kuliah peribadi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HONOR, Chen Long berkata pelaksanaan makmal AI dalam pendidikan bersama UPSI mencerminkan komitmen berterusan HONOR dalam meluaskan ekosistem AI dan memperkasa pembangunan modal insan di Malaysia secara menyeluruh.
“HONOR AI Lab PTB membuktikan komitmen UPSI dalam mengangkat peranan perpustakaan akademik sebagai hab inovasi terbuka yang memacu daya saing negara di era digital,” katanya.
Leave a Reply