oleh Editorial KampusKini
PEKAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) merakamkan penghargaan kepada 110 staf yang berkhidmat selama 20 tahun menerusi Majlis Sanjungan Budi dan Apresiasi UMPSA 2026 di Dewan Cendekia Siswa, UMPSA Pekan, baru-baru ini.
Naib Canselor UMPSA Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias berkata sumbangan warga universiti itu memainkan peranan penting dalam pembangunan institusi berkenaan sejak dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM), Universiti Malaysia Pahang, sehingga kini UMPSA.
Beliau berkata pengalaman dan komitmen staf dalam pelbagai bidang termasuk akademik, pentadbiran, kewangan, pengurusan kemudahan serta perkhidmatan sokongan telah menyumbang kepada kelancaran operasi universiti dan pengalaman pembelajaran pelajar.
“Sepanjang tempoh tersebut, tuan-tuan dan puan-puan telah menjadi sebahagian daripada perjalanan institusi ini. Setiap peranan yang dimainkan telah menyumbang kepada pengalaman pelajar dan keupayaan universiti melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Beliau turut berharap staf yang diraikan dapat terus berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan warga kerja lebih muda bagi memastikan ilmu serta amalan kerja yang baik dapat diwariskan kepada generasi seterusnya.
Katanya, warga universiti juga perlu terus bersedia menghadapi perubahan, khususnya perkembangan teknologi dan keperluan pendidikan tinggi yang menuntut peningkatan kemahiran serta penambahbaikan cara bekerja.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menjadi platform penghargaan kepada warga UMPSA yang menjayakan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di peringkat universiti.
Antara program yang dilaksanakan sepanjang sambutan itu termasuk Pertandingan Video TikTok bertemakan Gaya Hidup Sihat, Pertandingan Kampus Madani dan Program KITA Lestari.
UMPSA turut merakamkan penghargaan kepada kontinjen universiti yang meraih tempat ketiga dalam perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat daerah Pekan serta wakil universiti yang menyertai perbarisan peringkat negeri di Kuantan.
“Kejayaan dan penyertaan itu mencerminkan disiplin, semangat berpasukan serta komitmen warga universiti yang sanggup meluangkan masa dan tenaga di samping melaksanakan tanggungjawab hakiki masing-masing,” katanya.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)


Leave a Reply