oleh Editorial KampusKini
MELAKA– Pendedahan asas ketenteraan menerusi latihan bersama Askar Wataniah menjadi antara pendekatan Fakulti Pertahanan dan Pengajian Keselamatan, Universiti Geomatika Malaysia (UGM) dalam membentuk peserta yang berdisiplin, berdaya tahan dan mempunyai tahap kesiapsiagaan tinggi.
Pengurus Fakulti Pertahanan dan Pengajian Keselamatan UGM, Al Faizal Abdul Hajis berkata latihan secara praktikal penting dalam proses pembentukan diri kerana nilai seperti disiplin, kerja berpasukan dan kawalan diri lebih berkesan dipelajari melalui pengalaman sebenar.
“Latihan seperti ini bukan sekadar berkaitan kecergasan fizikal, tetapi mengajar peserta tentang disiplin, ketepatan, kerja berpasukan dan kemampuan mengawal diri dalam situasi yang mencabar,” katanya.
Sepanjang latihan, peserta diberikan pendedahan kepada aspek kecergasan fizikal dan asas ketenteraan, termasuk tatacara serta disiplin ketenteraan, military courtesy, pemakaian yang betul, kekemasan dan grooming.
Al Faizal berkata pendedahan itu turut membantu peserta memahami bahawa bidang pertahanan, keselamatan dan penguatkuasaan memerlukan lebih daripada pengetahuan akademik, sebaliknya turut menuntut ketahanan mental, disiplin dan keupayaan bekerja dalam pasukan.
“Dalam bidang ini, seseorang perlu mempunyai disiplin, ketahanan mental, kemampuan bekerja dalam pasukan dan kesediaan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik,” katanya.
Beliau berkata latihan berkenaan turut memberi peluang kepada peserta menguji kemampuan diri dalam suasana berbeza daripada pembelajaran biasa, selain memahami budaya kerja serta nilai disiplin yang menjadi asas dalam persekitaran ketenteraan.
Menurutnya, pengalaman lapangan itu merupakan sebahagian daripada usaha fakulti memberikan pendedahan menyeluruh mengenai realiti bidang pertahanan dan keselamatan, di samping membina karakter, keyakinan diri dan rasa tanggungjawab peserta sebagai persediaan menghadapi alam kerjaya.


Leave a Reply