PEKAN– Pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Muhammad Fauzi Hakimi Mazlan terpilih mewakili Malaysia ke FISU World Forum 2026 di Ostersund, Sweden.
Forum anjuran International University Sports Federation (FISU) dengan kerjasama Swedish University Sports Federation (SAIF) itu akan berlangsung dari 24 hingga 29 Ogos ini, menghimpunkan mahasiswa serta wakil komuniti sukan universiti dari pelbagai negara.
Malaysia melalui Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) merupakan anggota FISU.
UMPSA dalam kenyataan berkata pemilihan Muhammad Fauzi sebagai salah seorang daripada dua wakil pelajar Malaysia ke forum berkenaan merupakan pencapaian membanggakan, manakala seorang lagi wakil dipilih daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Naib Canselor UMPSA Prof Ts Dr Yatimah Alias berkata pemilihan itu membuktikan keupayaan mahasiswa universiti berkenaan untuk bersaing dan menyerlah di platform berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.
“Kita berbangga dengan kejayaan Muhammad Fauzi dipilih sebagai delegasi Malaysia yang akan tampil membawa nama universiti dan negara di pentas antarabangsa.
“Kita mengharapkan pelajar dapat menimba pengalaman sepanjang program dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen serta membawa nama baik UMPSA dan Malaysia sepanjang berada di Sweden,” katanya.
Yatimah berkata UMPSA sentiasa menggalakkan mahasiswa memanfaatkan pelbagai platform untuk mengasah bakat kepimpinan selain meningkatkan daya saing mereka menerusi penglibatan dalam program berimpak tinggi.
Sementara itu, Muhammad Fauzi turut tersenarai dalam Student Excellence & Ambassador Leadership (SEAL), iaitu program pembangunan kepimpinan mahasiswa UMPSA yang memberi tumpuan kepada pembentukan bakat serta pembangunan duta pelajar berpotensi tinggi.
Menurut UMPSA, program SEAL menyasarkan melahirkan 20 duta pelajar di peringkat antarabangsa dan 100 duta pelajar di peringkat kebangsaan, selaras dengan aspirasi Pelan Strategik UMPSA30.
Turut hadir Penolong Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) Prof Madya Ts Dr Mohd Razali Daud dan Pengarah Akademi ADAB Dr Siti Umairah Mokhtar.
Photo credit: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)


Leave a Reply