oleh Editorial KampusKini
KUALA LUMPUR– Muhammad Adam Danish Rosdi dari Politeknik Muadzam Shah muncul juara POLYCC Students TradePreneur Challenge (PolySTraC) 2026, sekali gus membuktikan keupayaan pelajar politeknik dan kolej komuniti menguasai ilmu kewangan serta pelaburan saham.
Adam Danish menerima wang tunai RM1,000, plak kristal dan sijil pada Majlis Penutupan PolySTraC 2026 yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Dato’ Ts Dr Haji Aminuddin Hassim, di sini baru-baru ini.
Tempat kedua dimenangi Muhammad Adib Zahin Mohd Rosman Zailani dari Politeknik Jeli yang menerima RM600, plak kristal dan sijil, manakala Muhammad Nur Aqif Johariza dari Politeknik Hulu Terengganu menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM400, plak kristal dan sijil.
Program anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menerusi Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar (BAPP) serta Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), dengan kerjasama Bursa Malaysia dan Asri Ahmad Academy, bermula 10 Julai lepas.
PolySTraC bertujuan meningkatkan literasi kewangan, keusahawanan dan pelaburan dalam kalangan pelajar menerusi latihan berstruktur yang merangkumi sesi Kickstart Saham, Bootcamp Asas Pemilihan Saham di Bursa Malaysia dan Bengkel Analisis Teknikal.
Peserta turut didedahkan kepada kaedah menganalisis pergerakan pasaran berdasarkan data, pengurusan risiko serta kemahiran membuat pembentangan menerusi sesi pitching.
Seramai 15 peserta daripada 10 institusi berjaya mara ke peringkat akhir selepas melalui proses latihan, penilaian dan pembentangan.
Selain kategori utama, Ahmad Thoreeq Mohamed Zainal Abidin dari Politeknik Ungku Omar memenangi Anugerah Slide Presentation Terbaik, manakala Muhammad Aiman Hakim Ahmad dari Politeknik Seberang Perai menerima Anugerah Investment Pitch Terbaik.
Kedua-dua pemenang menerima wang tunai RM100 dan sijil.
PolySTraC 2026 mencerminkan usaha JPPKK memperluas pembangunan kemahiran pelajar dalam bidang kewangan dan keusahawanan supaya mereka lebih bersedia membuat keputusan kewangan serta menghadapi dunia pekerjaan dan perniagaan.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS)


Leave a Reply