oleh Editorial KampusKini
BANGI – Pasukan MUDA (Member Usahawan Dunia Akhirat) dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) meraih empat anugerah pada Program INNOPRENEUR 4.0 peringkat kebangsaan menerusi produk inovasi Rebrew! Candle.
Pasukan itu merangkul tempat pertama bagi Anugerah Produk Inovasi Perniagaan dan Anugerah Jualan Terbanyak dalam kategori Teknologi Kecantikan dan Kesihatan, selain tempat pertama Anugerah Showcase serta tempat ketiga Anugerah Mentor Terbaik.
Kejayaan berkenaan diraih tiga pelajar Jabatan Perdagangan PSA iaitu Muhammad Alif Abdul Hamid, Muhammad Haekal Hasrul Effendy dan Muhammad Iman Irfan Mohd Samsul, bersama mentor mereka, Nur Azlina Jalaluddin.
INNOPRENEUR 4.0 merupakan platform yang memberi peluang kepada pelajar menterjemahkan idea kepada inovasi, membangunkannya sebagai produk atau perkhidmatan serta meneroka potensi perniagaan yang berdaya maju.
Peringkat kebangsaan program itu menghimpunkan 43 pasukan terpilih daripada lapan universiti awam, 17 politeknik dan 18 kolej komuniti.
Kejayaan pasukan MUDA turut mencerminkan penglibatan pelajar PSA dalam bidang inovasi dan keusahawanan, khususnya melalui penghasilan produk yang diketengahkan dalam kategori Teknologi Kecantikan dan Kesihatan.
PSA dalam kenyataan merakamkan penghargaan kepada Premier Entrepreneurship Centre (PEC) PSA dan Jabatan Perdagangan PSA atas sokongan terhadap pembangunan inovasi serta keusahawanan pelajar.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA)


Leave a Reply