Home / Utama / MPP UPSI raih tiga pengiktirafan di SIGMA 2026

MPP UPSI raih tiga pengiktirafan di SIGMA 2026

PERLIS– Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta pencapaian membanggakan apabila meraih tiga pengiktirafan pada Simposium Agenda Pemerkasaan Mahasiswa Kebangsaan (SIGMA) 2026 yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), baru-baru ini.

Tiga pengiktirafan itu ialah Anugerah Khas SIGMA 2026 (Pembentangan Bitara Mahasiswa), Anugerah Pembentangan Cemerlang SIGMA 2026 dan Pingat Perak Anugerah Inovasi Pemerkasaan Mahasiswa SIGMA 2026.

SIGMA 2026 bertemakan “Jitu Berinovasi, Kepimpinan Berimpak” dianjurkan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), UniMAP dan Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia (MASKUM) sebagai platform perkongsian idea, inovasi serta amalan terbaik mahasiswa di peringkat kebangsaan.

Simposium yang berlangsung pada 18 dan 19 Ogos di Dewan Ilmu, UniMAP itu turut menampilkan pembentangan lisan, pameran inovasi dan sesi perkongsian amalan terbaik mahasiswa.

UPSI dalam kenyataan berkata pencapaian berkenaan membuktikan keupayaan MPP UPSI mengetengahkan idea, amalan serta inovasi mahasiswa yang relevan dengan agenda pembangunan pelajar dan mampu bersaing di peringkat nasional.

Menurut kenyataan itu, Anugerah Khas SIGMA 2026 (Pembentangan Bitara Mahasiswa) diberikan kepada pembentangan yang menunjukkan kecemerlangan menyeluruh dari aspek kandungan, impak, inovasi, kebolehlaksanaan serta potensi untuk dijadikan amalan terbaik pemerkasaan mahasiswa di peringkat nasional.

Anugerah Pembentangan Cemerlang SIGMA 2026 pula diberikan bagi pembentangan terbaik mengikut trek yang dipertandingkan.

Dalam kategori inovasi, MPP UPSI turut meraih Pingat Perak Anugerah Inovasi Pemerkasaan Mahasiswa SIGMA 2026 menerusi pembentangan poster.

Penilaian kategori berkenaan memberi tumpuan kepada kesesuaian tema, elemen inovasi dan kreativiti, impak terhadap pembangunan mahasiswa, kebolehlaksanaan serta potensi sesuatu inovasi untuk direplikasi oleh institusi lain.

UPSI berkata kejayaan meraih tiga pengiktirafan dalam satu penyertaan itu mencerminkan kualiti kandungan, inovasi, impak dan kebolehlaksanaan inisiatif yang diketengahkan oleh MPP UPSI.

“Pencapaian ini turut memperkukuh peranan MPP sebagai wadah kepimpinan mahasiswa dalam mengetengahkan aspirasi, inovasi dan inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti mahasiswa,” menurut kenyataan itu.

Photo credit: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *