oleh Editorial KampusKini
PUTRAJAYA– Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Nur Shalihah Diyanah Ajah Maidien, menerima Anugerah Khas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi sempena Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026, sekali gus mengangkat nama universiti di peringkat kebangsaan.
Pelajar Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik (FTKE) itu merupakan antara 10 calon yang disenarai pendek bagi kategori Tokoh Kepimpinan Siswa, hasil penglibatan aktif serta pengalaman kepimpinan sepanjang tempoh pengajian di UTeM.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM, Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata pencapaian itu merupakan satu detik membanggakan buat seluruh warga universiti, selain mencerminkan keberanian mahasiswa mengambil amanah serta kesungguhan menyumbang kepada komuniti.
“Lebih daripada sebuah anugerah, saya melihat pencapaian ini sebagai hasil daripada keberanian beliau mengambil amanah, pengalaman memimpin dan kesungguhan untuk terus memberi sumbangan kepada komuniti mahasiswa.
“Semoga kejayaan ini menjadi langkah untuk terus melangkah lebih jauh dan membawa nama UTeM ke pentas yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Shalihah memulakan pengalaman kepimpinannya sebagai Setiausaha JAKSIS Lekiu bagi sesi 2023/2024 sebelum dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi sesi 2024/2025 dan seterusnya Presiden bagi sesi 2025/2026 serta 2026/2027.
Beliau turut memegang beberapa jawatan kepimpinan mahasiswa termasuk Presiden Kelab Emcee Square bagi sesi 2025/2026, Timbalan Presiden bagi sesi 2026/2027 serta Exco Akademik e-TESA pada 2025 dan Timbalan Presiden 1 pada 2026.
Kecemerlangan mahasiswa berkenaan turut terserlah menerusi empat pengiktirafan pada Anugerah Tokoh Siswa UTeM 2026, selain meraih Gold Award dan Best Research Award pada International Education Research & Innovation Carnival (InERIC) 2026.
Prof. Madya Datuk Dr. Sabri turut merakamkan penghargaan kepada keluarga dan semua pihak yang menyokong perjalanan kepimpinan Shalihah.
“Terima kasih juga kepada keluarga dan semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan beliau. Syabas Nur Shalihah. UTeM bangga denganmu,” katanya.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)


Leave a Reply