KUALA LUMPUR– Tiga mahasiswa Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (FKTA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengharumkan nama universiti apabila muncul juara Kategori 2 Degree in Engineering Technology (ETAC) pada BEM Young Engineering Innovation Trophy 2026.
Kejayaan itu diraih menerusi projek “ReNova: Advancing Circular Construction Through Geopolymer-Enhanced Recycled” yang mengetengahkan inovasi dalam bidang kejuruteraan serta penyelesaian lestari dengan aplikasi dan impak terhadap dunia sebenar.
Tiga mahasiswa berkenaan ialah Rishitaran Pannir Selvam, Thaneswari Loganathan dan Nur Athirah Alias.
Projek berkenaan dibangunkan di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Rafiza Abdul Razak dan berjaya menonjolkan kreativiti serta keupayaan mahasiswa dalam menghasilkan penyelesaian inovatif berkaitan bidang kejuruteraan dan teknologi lestari.
Dekan FKTA, Prof. Madya Ts. Dr. Che Zulzikrami Azner Abidin, hadir mewakili Naib Canselor UniMAP untuk menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Pertandingan yang berlangsung di Royale Chulan Kuala Lumpur itu dianjurkan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) menerusi BEM Young Engineering Innovation Trophy 2026 sebagai platform kepada mahasiswa bidang kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan mengetengahkan idea, kreativiti serta inovasi berimpak.
Kejayaan tersebut mencerminkan keupayaan mahasiswa UniMAP dalam menghasilkan inovasi yang bukan sahaja berteraskan ilmu dan kemahiran teknikal, malah mengambil kira aspek kelestarian serta keperluan sebenar industri dan masyarakat.
Pencapaian itu turut membuktikan komitmen UniMAP dalam memperkasa budaya inovasi dan penyelidikan dalam kalangan mahasiswa bagi melahirkan graduan yang kompeten serta berdaya saing di peringkat kebangsaan.
Photo credit: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)


Leave a Reply