Home / Mahasiswa / Mahasiswa Orang Asli UiTM dinobat Penerima Anugerah Inspirasi JAKOA 2026

Mahasiswa Orang Asli UiTM dinobat Penerima Anugerah Inspirasi JAKOA 2026

Norazlizam menerima Anugerah Mahasiswa Inspirasi JAKOA 2026 (Kategori Mahasiswa Lelaki) yang disampaikan oleh Datuk Dr Roslan Mahmood, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah

oleh Hairul Reazuan Asmayadi

 KUALA LUMPUR– Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM), Norazlizam Haziman Salim, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Mahasiswa Inspirasi (AMI) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) 2026 bagi Kategori Mahasiswa Lelaki.

Norazlizam, yang berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor dan kini mengikuti pengajian Bachelor of Science (Hons.) Mathematics di UiTM, mencatat prestasi akademik cemerlang dengan memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester serta mengekalkan purata nilai gred kumulatif (CGPA) melebihi 3.90 sepanjang pengajiannya.

Pengiktirafan itu disampaikan pada Majlis Anugerah Mahasiswa Inspirasi JAKOA 2026 di Hotel Grand Wyndham, Bangsar di sini hari ini, yang dirasmikan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Sri Dr. Ramli Datuk Mohd Nor.

Selain kecemerlangan akademik, Norazlizam turut aktif dalam pertandingan matematik termasuk Malaysia Mathematics Invitational Championship (MMIC) 2026 serta berjaya mara sebagai finalis Olimpiad Matematik Universiti Malaya (OMUM) 2026.

Beliau juga aktif dalam program kemasyarakatan di luar kampus, khususnya aktiviti mempromosikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar sekolah.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, berkata pencapaian Norazlizam membuktikan latar belakang bukan penghalang untuk seseorang mahasiswa mencapai kecemerlangan menerusi usaha, disiplin dan kesungguhan berterusan.

“Pencapaian Norazlizam amat membanggakan kerana beliau bukan sahaja konsisten dalam akademik dengan CGPA melebihi 3.90, malah aktif dalam bidang matematik dan membawa semangat STEM kepada masyarakat.

“Kami berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa untuk berani mencabar potensi diri dan memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.

Sementara itu, Norazlizam berkata antara cabaran yang sering dihadapi sebahagian anak muda Orang Asli ialah rasa malu, rendah diri dan kurang keyakinan terhadap kemampuan sendiri.

“Pesanan saya kepada anak muda Orang Asli, jangan rasa malu atau rendah diri. Teruskan berusaha, bina keyakinan dan percaya pada kemampuan sendiri kerana kejayaan adalah milik insan yang berusaha, tanpa mengira latar belakang,” katanya.

AMI merupakan inisiatif JAKOA bagi mengiktiraf mahasiswa Orang Asli berprestasi tinggi dan berpotensi menjadi sumber inspirasi melalui pencapaian akademik, kepimpinan serta sumbangan kepada komuniti.

Pengiktirafan itu turut memperlihatkan penglibatan mahasiswa Orang Asli dalam pendidikan tinggi dan bidang STEM, di samping menggalakkan lebih ramai generasi muda komuniti berkenaan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:19


Maghrib

19:00


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM