oleh Editorial KampusKini
AYER KEROH – Status sebagai individu autisme bukan penghalang bagi Ahmad Hafiz Izzuddin Abdul Aziz, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Alor Gajah, Melaka untuk mencapai kecemerlangan apabila berjaya meraih Anugerah Khas OKU pada Anugerah Siswa Gemilang Hang Tuah Jaya 2026, di sini baru-baru ini.
Ahmad Hafiz Izzuddin yang merupakan anak yatim membuktikan keupayaannya dalam bidang akademik apabila menerima Anugerah Dekan selama lima semester berturut-turut, sekali gus melayakkannya menerima Anugerah Naib Canselor (ANC) UiTM.
Beliau yang berada dalam kategori autisme tahap sederhana (moderate autism) berkata kejayaan itu merupakan satu amanah dan berharap pencapaiannya dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Individu OKU juga mempunyai kemampuan untuk berjaya dan mencapai kecemerlangan sekiranya diberikan peluang, sokongan dan ruang yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Ahmad Hafiz Izzuddin turut merakamkan penghargaan kepada guru, pensyarah, rakan-rakan, komuniti OKU serta Dr Rani dari Bahagian OKU UiTM yang banyak memberikan sokongan emosi dan sosial sepanjang pengajiannya.
Beliau turut memberikan penghargaan khusus kepada ibunya, Noriza Hussain, yang banyak menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan pendidikan dan kehidupannya.
Noriza yang merupakan kaunselor di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (ICYM) berkata beliau bersyukur dan terharu melihat kejayaan anaknya selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang proses tumbesaran dan pengajian.
“Kita mungkin melalui jalan yang berbeza dalam membesarkan anak-anak istimewa, tetapi setiap anak mempunyai potensi dan keunikan tersendiri.
“Dengan usaha, tawakal, doa serta sokongan keluarga dan insan di sekeliling, mereka mampu mencipta kejayaan yang mungkin tidak pernah kita bayangkan,” katanya.
Sementara itu, Anugerah Siswa Gemilang Hang Tuah Jaya 2026 yang berlangsung di Dewan World Youth Foundation, di sini, merupakan penganjuran kali kedua oleh Pertubuhan Ikatan Mahasiswa Anak Melaka bersama Active Nation Malaysia.
Majlis yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr Haji Mohd Ali Mohd Rustam itu turut mendapat kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pendidikan Tinggi, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
Sebanyak 10 kategori utama dipertandingkan meliputi bidang akademik, kepimpinan, kesukarelawanan, inovasi, keusahawanan, kebudayaan dan kesenian, sukan, OKU serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Pada majlis itu, seramai 114 mahasiswa menerima Anugerah Khas Dekan, manakala 11 lagi menerima Anugerah Khas dalam pelbagai kategori.
Anugerah berkenaan menghimpunkan anak Melaka dari Parlimen Hang Tuah Jaya yang sedang melanjutkan pengajian di pelbagai institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di dalam serta luar negara.


Leave a Reply