oleh Editorial KampusKini
SERDANG – Kesatuan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (KMUPM) memperkenalkan struktur dan mekanisme baharu perwakilan mahasiswa kepada pelajar baharu menerusi Slot Bersama Kesatuan Mahasiswa sempena kemasukan pelajar baharu UPM.
Naib Yang Dipertua 2 KMUPM, Muhammad Faiz Ahmad Zaini berkata peralihan daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kepada Kesatuan Mahasiswa membawa beberapa perubahan dalam struktur serta mekanisme perwakilan mahasiswa di universiti berkenaan.
Beliau berkata KMUPM merupakan wadah bersama mahasiswa untuk menyuarakan pandangan dan kepentingan mereka, bukannya milik mana-mana individu atau kelompok tertentu.
“KMUPM ini bukanlah milik yang di depan-depan ini. Bukan milik saya, tapi milik setiap daripada kita,” katanya.
Menurut beliau, konsep kesatuan yang dibawa KMUPM menekankan penyatuan mahasiswa dalam suasana keterangkuman dan kebersamaan sebagai satu komuniti bagi mencapai kesejahteraan, kekuatan dan kemajuan mahasiswa, selaras dengan slogan “Penyatuan Demi Kesatuan”.
Sesi berkenaan turut memperkenalkan empat perubahan utama melalui struktur KMUPM berbanding MPP, iaitu Kod Tatakelola KMUPM sebagai perlembagaan, Parlimen Mahasiswa di bawah kelolaan kesatuan, Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan serta penubuhan sekretariat di bawah Exco Kesatuan.
Sementara itu, Yang Dipertua KMUPM, Nuqman Naufal Nor Azhari, menggalakkan pelajar baharu mengambil peluang menyertai pelbagai program dan aktiviti sepanjang tempoh pengajian di UPM.
“Jangan pernah fikir anda hanya grad untuk semata-mata segulung ijazah. Tinggalkan legasi untuk warga UPM pada masa akan datang,” katanya.
Slot berkenaan turut memberi pendedahan kepada pelajar baharu mengenai KMUPM sebagai badan organisasi perwakilan pelajar tertinggi UPM, termasuk fungsi dan peranan setiap bahagian dalam kesatuan.
Pengenalan berkenaan bertujuan memberi kefahaman kepada mahasiswa baharu mengenai saluran perwakilan serta ruang penglibatan mereka dalam pembangunan komuniti mahasiswa di UPM.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Putra Malaysia (UPM)


Leave a Reply