oleh Fairus Muhamad Darus
Kita mengibarkan bendera yang sama, tetapi menjalani kehidupan dalam keadaan yang tidak sentiasa serupa. Ada yang tinggal hanya beberapa minit dari sekolah dan hospital. Ada pula yang perlu menempuh perjalanan panjang untuk mendapatkan kemudahan asas. Perbezaan pengalaman inilah yang perlu diberikan perhatian apabila kita berbicara tentang kesejahteraan sempena Hari Malaysia.
Tanggal 16 September mengingatkan kita tentang pembentukan Malaysia pada 1963 melalui penyatuan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Peristiwa itu membawa sebuah cita-cita besar: membina masa depan bersama dalam sebuah persekutuan yang menghimpunkan wilayah, masyarakat dan latar budaya yang pelbagai.
Selepas lebih enam dekad, semangat pembentukan itu perlu dinilai melalui kehidupan rakyat. Kebersamaan tidak berakhir apabila sebuah negara diisytiharkan. Ia perlu terus dibina melalui peluang yang terbuka, perkhidmatan yang berfungsi dan layanan yang membuatkan setiap rakyat berasa dihargai.
Tema rasmi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, “Kesejahteraan Dinikmati”, membawa perhatian kepada persoalan tersebut. Tema ini menggambarkan hasrat agar kesejahteraan dapat dirasai oleh seluruh rakyat, bukan hanya kelompok tertentu. Persoalannya, sejauh manakah hasrat itu hadir dalam kehidupan seharian?
Peluang yang mengambil kira keadaan
Kehidupan sejahtera sering dikaitkan dengan pendapatan, rumah yang selesa dan kemudahan moden. Namun, pengertiannya lebih luas. Sejahtera juga bermaksud dapat belajar dengan baik, bekerja dalam keadaan selamat, memperoleh rawatan apabila diperlukan dan mempunyai ruang untuk membina masa depan.
Dalam konteks Hari Malaysia, ukuran ini perlu mengambil kira pengalaman rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Gambaran kehidupan di bandar utama tidak semestinya mewakili keadaan di seluruh negara.
Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan median pendapatan kasar bulanan isi rumah bandar sebanyak RM8,139, berbanding RM4,588 bagi isi rumah luar bandar. Angka ini tidak menerangkan seluruh pengalaman hidup rakyat, tetapi menunjukkan bahawa lokasi masih mempengaruhi kemampuan sesebuah keluarga mendapatkan peluang dan menghadapi kos kehidupan.
Jurang juga tidak boleh dinilai melalui pendapatan semata-mata. Sebuah sekolah mungkin telah dibina, tetapi manfaatnya terbatas jika perjalanan ke sekolah masih mengambil masa yang panjang. Perkhidmatan kesihatan pula belum benar-benar mudah dicapai jika pesakit perlu melalui perjalanan yang sukar atau menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rawatan.
Keadaan yang sama berlaku dalam pendidikan digital. Dua orang pelajar mungkin mempunyai kebolehan dan kesungguhan yang setanding, tetapi peluang mereka berbeza apabila seorang menikmati capaian internet yang stabil, sementara seorang lagi perlu mencari lokasi tertentu untuk mengikuti kelas atau memuat turun bahan pembelajaran.
Peluang yang adil tidak semestinya terhasil dengan memberikan perkara yang sama kepada semua orang. Bantuan dan kemudahan perlu mengambil kira jarak, geografi, kemampuan setempat serta kesukaran sebenar yang dihadapi oleh penduduk.
Sebab itu suara masyarakat perlu mendapat tempat dalam perancangan pembangunan. Penduduk setempat mengetahui keadaan jalan yang dilalui, waktu perkhidmatan terganggu dan kemudahan yang paling mendesak. Pengalaman mereka membantu pembuat keputusan membezakan antara projek yang siap dibina dengan perkhidmatan yang benar-benar berfungsi.
Dihargai sebagai rakyat Malaysia
Kemudahan fizikal sahaja belum melengkapkan kehidupan yang sejahtera. Seseorang juga perlu berasa diterima, didengar dan dilayani dengan bermaruah sebagai sebahagian daripada negara ini.
Hari Malaysia membawa kita kepada pengertian kebersamaan yang lebih mendalam. Mengenali Sabah dan Sarawak tidak seharusnya terbatas kepada makanan, pakaian tradisional, tarian atau destinasi pelancongan. Sejarah pembentukan negara, kepelbagaian masyarakat dan pengalaman hidup penduduknya turut perlu difahami.
Kampus ialah antara ruang penting untuk membina kefahaman tersebut. Mahasiswa dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak bertemu dalam bilik kuliah, kolej kediaman dan persatuan. Pertemuan ini membolehkan mereka memahami Malaysia melalui pengalaman rakan sendiri, bukan sekadar buku teks atau acara sambutan.
Institusi pendidikan tinggi boleh memperluas kefahaman itu melalui pengajaran dan kegiatan mahasiswa yang memberi ruang kepada suara pelbagai wilayah. Kebajikan mahasiswa juga perlu diurus dengan mengambil kira kos perjalanan, keadaan keluarga dan akses kepada sokongan pembelajaran.
Rasa dihargai juga terbentuk melalui perkara yang kelihatan biasa. Hal ini hadir apabila loghat seseorang tidak dijadikan bahan ejekan, asal tempatnya tidak mempengaruhi layanan dan pandangannya didengar tanpa prasangka. Di kampus, tempat kerja dan kaunter perkhidmatan, pertemuan harian seperti inilah yang menentukan sama ada kebersamaan benar-benar dapat dirasai.
Perbezaan pandangan tetap akan wujud dalam sebuah negara yang rencam. Masyarakat yang matang tidak menafikan perbezaan tersebut. Apabila sesuatu komuniti membangkitkan persoalan tentang kemudahan, peluang atau layanan, perkara itu perlu diteliti berdasarkan fakta dan pengalaman pihak yang terlibat. Kesediaan mendengar membantu mengenal pasti jurang yang boleh menjejaskan kepercayaan jika dibiarkan.
Daripada sambutan kepada amalan
Kesejahteraan memerlukan peranan institusi dan rakyat. Kerajaan perlu memastikan dasar diterjemahkan kepada perkhidmatan yang berfungsi. Kejayaan pelaksanaan pula perlu dinilai melalui perubahan yang dialami oleh masyarakat, bukan sekadar jumlah projek atau program yang diumumkan.
Institusi pendidikan tinggi mempunyai tanggungjawab yang sama penting. Kampus perlu memastikan kedudukan geografi atau latar keluarga tidak mengecilkan ruang seseorang untuk berkembang. Bantuan kewangan, sokongan akademik, kemudahan digital dan layanan terhadap mahasiswa perlu sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.
Rakyat turut membentuk mutu kehidupan bersama melalui tindakan harian. Dalam ruang digital, kita perlu menyemak konteks sebelum menyebarkan kandungan dan tidak menghukum seluruh kaum, agama atau wilayah berdasarkan tindakan seorang individu.
Pada setiap 16 September, Jalur Gemilang dikibarkan dan kepelbagaian negara diraikan. Selepas bendera diturunkan dan acara sambutan berakhir, makna Hari Malaysia perlu terus hadir dalam kehidupan rakyat.
Makna itu hadir apabila seorang anak dapat belajar walau di mana pun dia dilahirkan. Ia terasa apabila mahasiswa memperoleh peluang untuk berkembang, pekerja dilindungi, pesakit mendapat rawatan dan penduduk didengar sebelum keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka dibuat.
Malaysia dibentuk melalui kesediaan untuk berkongsi sebuah masa depan. Kekuatan pembentukan itu pada hari ini bergantung pada sejauh mana setiap rakyat dapat menikmati peluang, layanan dan kehidupan yang bermaruah.
Kita sudah lama berkongsi sebuah bendera. Tugas yang masih perlu disempurnakan ialah memastikan kesejahteraan di bawah bendera itu benar-benar dirasai bersama.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM).


Leave a Reply