Dewasa ini, menghadapi cabaran dunia VUCA (Volatility: Ketidaktentuan dan perubahan pantas, Uncertainty: Ketidakpastian, Complexity: Kerumitan dan Ambiguity: Kesamaran), Mahasiswa bukan sahaja perlu mempunyai kecemerlangan akademik, tetapi juga daya tahan, pemikiran kritis, kreativiti, kebolehsuaian dan kemahiran kepimpinan untuk menghadapi dunia VUCA. VUCA menggambarkan dunia yang tidak menentu, sukar dijangka, kompleks dan kabur, yang menuntut individu memiliki daya tahan, fleksibiliti serta kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Oleh itu, dalam kesibukan universiti mengejar kecemerlangan akademik, penyelidikan dan kebolehpasaran graduan, terdapat satu dimensi pembangunan mahasiswa yang tidak boleh dipandang sebelah mata, iaitu kebajikan dan pembinaan nilai kemanusiaan. Hakikatnya, universiti bukan sekadar institusi yang melahirkan graduan berilmu, tetapi juga medan membentuk insan yang mempunyai empati, keprihatinan, tanggungjawab sosial dan jiwa kepimpinan.
Dalam melahirkan gaduan holistik, nilai seorang mahasiswa tidak hanya terserlah melalui pencapaian akademik, anugerah dekan populariti atau jawatan kepimpinan yang disandang, tetapi juga melalui kesanggupannya menghulurkan bantuan kepada rakan yang memerlukan, berkongsi rezeki dan menjadi individu yang prihatin terhadap kesusahan orang lain. Di sinilah kebajikan mahasiswa memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar penyampaian bantuan.
Dalam konteks pendidikan tinggi, kebajikan juga boleh menjadi medium pembinaan karakter, jati diri dan nilai kemanusiaan mahasiswa. Melalui inisiatif sumbangan nasi percuma di Dapur Siswa MADANI @ Dapur HEP UiTM Cawangan Sabah mungkin kelihatan sebagai satu bentuk bantuan makanan yang sederhana. Namun, di sebalik sepinggan nasi yang disumbangkan, wujud satu nilai pendidikan yang lebih besar apabila mahasiswa turut dilibatkan sebagai sukarelawan. Mahasiswa bukan hanya menerima bantuan, tetapi berpeluang menjadi sebahagian daripada pihak yang membantu.
Inisiatif kebajikan mahasiswa di UiTM Cawangan Sabah bukanlah bermula dalam sehari, sebaliknya berkembang melalui cetusan kepimpinan yang prihatin terhadap keperluan dan kesejahteraan mahasiswa. Usaha ini bermula menerusi inisiatif pemberian nasi percuma yang diperkenalkan oleh Mantan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Sabah, Datin Dr. Rafidah @ Malissa binti Salleh. Bermula dengan penyediaan nasi percuma melalui Dapur HEP melalui pemberian sumbangan beras percuma serta peralatan memasak bagi memperkukuh kelangsungan penyediaan makanan kepada mahasiswa yang memerlukan. Selaras dengan aspirasi kepimpinan Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, keprihatinan dan kesejahteraan rakyat, inisiatif kebajikan seumpama ini turut mendapat perhatian dan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi pengembangan konsep Dapur Siswa MADANI. Sokongan ini memperkukuh usaha universiti dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus diberikan perhatian melalui penyediaan makanan dan penyaluran sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Kesinambungan inisiatif ini diteruskan di bawah kepimpinan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sabah, YBrs. Ts. Dr. Ajimi Jawan yang menyambut baik pelaksanaan projek berkenaan dengan meneruskan pelantikan sukarelawan mahasiswa sebagai penggerak utama program. Pendekatan ini membawa dimensi yang lebih besar kepada inisiatif kebajikan. Mahasiswa bukan sahaja menjadi penerima manfaat, malah diberikan peluang untuk menyumbang tenaga, mengurus pelaksanaan program dan membantu rakan-rakan yang memerlukan. Inilah kesinambungan sebuah legasi kepimpinan yang bermula dengan usaha memberi makanan, berkembang menjadi gerakan kebajikan dan seterusnya membina budaya kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa. Di sinilah kebajikan berubah daripada sekadar memberi makanan kepada “mendidik jiwa untuk memberi.”
Daripada Penerima kepada Pemberi
Mahasiswa yang menerima bantuan mungkin sedang berhadapan dengan kekangan kewangan. Bantuan makanan dapat meringankan beban mereka dan memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan serta pengajian dengan lebih baik. Namun, mahasiswa yang terlibat sebagai sukarelawan pula memperoleh pembelajaran yang berbeza. Mereka belajar bahawa kehidupan di universiti bukan hanya tentang diri sendiri. Mereka belajar untuk melihat keperluan orang lain. Mereka belajar berkongsi. Mereka belajar berkhidmat. Mereka belajar bahawa sekecil-kecil sumbangan boleh memberikan makna yang besar kepada orang lain. Pengalaman seperti ini membentuk jiwa besar dalam diri mahasiswa.
Sukarelawan Kampus: Sekolah Kehidupan
Program kebajikan yang melibatkan mahasiswa sebagai sukarelawan sebenarnya merupakan sebuah sekolah dalam kehidupan. Ketika menyediakan makanan, mereka belajar disiplin dan tanggungjawab. Ketika mengagihkan makanan, mereka belajar komunikasi dan empati. Ketika bekerjasama dengan rakan, mereka belajar kerja berpasukan. Ketika berhadapan dengan kekurangan sumber, mereka belajar menyelesaikan masalah. Ketika melayani penerima dengan hormat, mereka belajar tentang maruah manusia. Nilai-nilai ini tidak semestinya boleh diukur melalui CGPA, tetapi ia sangat penting apabila mahasiswa memasuki alam pekerjaan dan masyarakat.
Membina Jati Diri Melalui Khidmat
Jati diri tidak terbentuk hanya melalui ceramah. Jati diri dibentuk melalui pengalaman dan tindakan. Mahasiswa yang biasa membantu orang lain akan belajar untuk menjadi lebih peka terhadap keadaan sekeliling. Mereka mula memahami bahawa kepimpinan bukan semata-mata tentang jawatan, tetapi tentang kesediaan untuk mengambil tanggungjawab. Sebab itu, mahasiswa perlu diberi ruang untuk merasai pengalaman “memberi tanpa mengharapkan balasan.” Daripada pengalaman tersebut lahir nilai empati, kesyukuran, kerendahan hati, tanggungjawab sosial dan kepedulian terhadap komuniti.
Dalam agenda melahirkan graduan holistik, program kebajikan seperti nasi percuma mempunyai nilai yang jauh lebih besar daripada bantuan makanan semata-mata. Ia boleh menjadi titik pertemuan antara kebajikan, pembangunan pelajar, kesukarelawanan dan pembinaan karakter. Mahasiswa yang cemerlang bukan hanya mahasiswa yang mempunyai CGPA tinggi. Mahasiswa yang aktif bukan hanya mahasiswa yang mempunyai banyak merit. Mahasiswa yang hebat ialah mahasiswa yang mempunyai ilmu, kemahiran, karakter, jati diri dan jiwa untuk memberi manfaat kepada orang lain. Memetik kata YBrs Profesor Madya Dr Rozita @ Uji Mohammed Rektor UiTM Cawangan Sabah dalam ucapan beliau, “Satu pinggan nasi mungkin mengenyangkan perut seorang mahasiswa. Tetapi budaya memberi mampu mengenyangkan jiwa sebuah generasi”. Melalui inisiatif ini, daripada mahasiswa berjiwa besar, kita membina graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang untuk diri sendiri, tetapi mampu memberi makna kepada masyarakat.
Mahasiswa berjiwa besar bukan bermaksud seseorang itu hebat atau lebih baik daripada orang lain, tetapi merujuk kepada keluasan hati, kematangan emosi, kesediaan membantu, mampu menerima perbezaan, tidak mudah berkecil hati dan mempunyai keinginan untuk memberi manfaat kepada orang lain. Sumbangan nasi percuma boleh menjadi contoh yang sangat baik. Mahasiswa yang menerima bantuan belajar tentang kesyukuran. Mahasiswa yang menjadi sukarelawan belajar tentang memberi. Mahasiswa yang mengurus program belajar tentang kepimpinan dan tanggungjawab. Akhirnya, yang dibina bukan sekadar “perut yang kenyang”, tetapi “jiwa yang kaya dengan nilai dan mampu memimpin di masa akan datang.”
Maklumat penulis:
1) Melisa Cherrie Mariot, Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Sabah Sesi 2025/2026
2) Nurul Huda Roslan, Penolong Pendaftar UiTM Cawangan Sabah


Leave a Reply