Home / Rencana / KARKOL 17: Membina pemimpin, membentuk masa hadapan

KARKOL 17: Membina pemimpin, membentuk masa hadapan

oleh Mohamad Hirmawan Shah Ben dan Nurul Huda Roslan

Karnival Kolej (KARKOL) Ke-17 UiTM Cawangan Sabah Tahun 2026 membuktikan bahawa pembangunan bakat mahasiswa bukan sekadar tentang kecemerlangan akademik, tetapi turut melibatkan pembentukan bakat kepimpinan, sahsiah, kerohanian, kreativiti dan kemahiran insaniah.  KARKOL 17 telah berlangsung di UiTM Cawangan Sabah bermula 13 Oktober 2026 hingga 2 November 2026 melibatkan 38 aktiviti pelajar yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) dan Sekretariat dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Paynet Sdn. Bhd. dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sabah.

Berteraskan tema Melahirkan Mahasiswa Holistik, Karkol17 menjadi medan pembelajaran di luar bilik kuliah yang memberi peluang kepada mahasiswa mengenali potensi diri, membina keyakinan dan mengasah bakat kepimpinan.  Aktiviti pelajar ini telah dirancang dan diklusterkan kepada 6 teras utama iaitu teras bakat, teras kepimpinan, teras kesukanan, teras keusahawanan, teras kerihanian dan teras Kesihatan serta kesejahteraan mahasiswa.  Kesemua aktiviti sepanjang Karkol17 merangkumi bidang akademik, kepimpinan, kerohanian, sukan, kesenian, kreativiti dan pembangunan sosial.

Ilmu, Intelektual dan Keterampilan Diri

Antara usaha melahirkan graduan yang berpengetahuan dan mempunyai daya pemikiran kritis, beberapa aktiviti berteraskan akademik dan pembangunan intelektual telah diketengahkan. Antaranya ialah Bootcamp Artificial Intelligence (AI), Bengkel Kemahiran Coding, Seminar Literasi Kewangan, Word Expert: Spelling Bee Competition, Seni Digital, Debat Piala KARKOL dan Public Speaking Competition.  Pengisian ini memberikan pendedahan kepada mahasiswa tentang kepentingan penguasaan teknologi, kemahiran digital, pengurusan kewangan, komunikasi profesional serta kebolehan menyampaikan idea secara tersusun dan meyakinkan.  Dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, graduan bukan sahaja perlu mempunyai kelayakan akademik, tetapi juga kebolehan berfikir secara kreatif, menyelesaikan masalah dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi. Justeru, pengalaman seperti ini menjadi nilai tambah kepada kebolehpasaran graduan.  

Kepimpinan, Kerja Berpasukan dan Kemahiran Insaniah

Kepimpinan tidak terbentuk hanya melalui jawatan atau gelaran yang disandang, sebaliknya melalui pengalaman, tanggungjawab dan kesediaan untuk bekerja bersama orang lain.  Melalui pelaksanaan Karkol17, aktiviti seperti Nextgen Leaders, Mahasiswa Aktif dan Eksplorasi KARKOL-17 memberi ruang kepada mahasiswa mengasah kemahiran membuat keputusan, menyelesaikan masalah, berkomunikasi dan bekerjasama dalam kumpulan. Tambahan pula, Golden Voice member keyakinan kepada pelajar untuk membuat persembahan nyanyian, aktiviti lakonan dan pengurusan majlis yang efisen.  Cabaran fizikal dan mental dalam aktiviti berkumpulan turut menguji ketahanan diri, strategi serta kebolehan memimpin dan dipimpin.  Selain itu, Program Career Talk dan Pameran Kerjaya Awam pula memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai realiti alam pekerjaan, keperluan industri dan peluang kerjaya. Pengalaman berinteraksi dengan panel serta wakil agensi luar membantu mahasiswa membina keyakinan dan mempersiapkan diri menghadapi transisi daripada alam kampus ke alam profesional.

Universiti Sebagai Medan Pembentukan Insan dan Pemimpin

Hakikatnya, universiti bukan sekadar institusi yang menyampaikan ilmu, tetapi juga medan membentuk karakter, keperibadian dan kepimpinan generasi masa hadapan. Setiap aktiviti mahasiswa perlu dilihat sebagai peluang pendidikan yang mempunyai nilai dan impak tersendiri.  Dalam konteks ini, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) memainkan peranan penting sebagai pembimbing, pemudah cara dan pemangkin pembangunan mahasiswa. Sokongan pihak pengurusan universiti, penasihat program serta kerjasama pelbagai pihak menjadi elemen penting dalam memastikan setiap inisiatif pembangunan mahasiswa dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Mahasiswa juga perlu diberikan ruang untuk mengembangkan bakat, mencuba, membuat keputusan, memimpin dan belajar daripada kesilapan. Mereka tidak seharusnya hanya menjadi peserta dalam sesuatu program, tetapi perlu dilibatkan sebagai pencetus idea, perancang dan pelaksana yang bertanggungjawab. Kejayaan sesuatu karnival tidak seharusnya diukur berdasarkan kemeriahan majlis, jumlah pertandingan atau hadiah yang dimenangi semata-mata. Ukuran yang lebih bermakna ialah perubahan positif yang berlaku dalam diri mahasiswa selepas melalui pengalaman tersebut.  Apabila mahasiswa yang dahulunya kurang yakin mula berani menyuarakan pandangan, mahasiswa yang pasif mula mengambil tanggungjawab, mahasiswa yang berbeza latar belakang belajar menghormati antara satu sama lain dan pemimpin mahasiswa memahami erti sebenar amanah, maka di situlah terletaknya kejayaan sebenar sebuah program pembangunan mahasiswa.

Akhirnya, KARKOL 17 membawa satu mesej yang cukup jelas bahawa graduan hebat bukan sekadar mereka yang cemerlang di dalam dewan peperiksaan, tetapi mereka yang mampu memimpin dengan ilmu, berkomunikasi dengan yakin, bertindak dengan integriti dan menyantuni masyarakat dengan adab.  Inilah aspirasi yang ingin direalisasikan melalui KARKOL: membina pemimpin, membentuk masa hadapan. Penglibatan kepimpinan pelajar terutama Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) sebagai penggerak dan pelaksana program merupakan satu bentuk latihan kepimpinan secara praktikal. Mereka belajar merancang, mengurus sumber, menyelesaikan konflik, mengendalikan kewangan dan memikul amanah. Inilah pengalaman yang tidak semestinya dapat diperoleh melalui pembelajaran teori di dalam bilik kuliah.  Persediaan ini membantu mahasiswa untuk menghadapi cabaran di masa akan datang dan melatih graduan menjadi holistik, berdaya saing dan membentuk insan cemerlang.

Maklumat penulis:

1) Presiden JPK UiTM Cawangan Sabah, Mohamad Hirmawan Shah Ben

2) Penolong Pendaftar HEP UiTM Cawangan Sabah, Nurul Huda Roslan

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:59


Zohor

13:01


Asar

16:23


Maghrib

18:59


Isyak

20:12

Sumber: e-Solat JAKIM