Home / Sekolah / Buang Stigma Negatif Terhadap STEM, TVET

Buang Stigma Negatif Terhadap STEM, TVET

oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Dunia hari ini menyaksikan arus perkembangan sains dan teknologi yang cukup pesat. Seluruh negara di dunia pastinya tidak mahu menyaksikan rakyat negara mereka tertinggal dalam menguasai bidang keperluan utama itu. Demikianlah juga keadaannya dengan situasi di negara kita ini.
Pelbagai usaha, kaedah dan strategi telah dan sedang dicorakkan demi membolehkan hasrat negara untuk menjadikan negara ini berdiri sama tinggi dengan pencapaian negara lain. Hendak tak hendak, kita semua seharusnya mengakui akan kepentingan ilmu sains dan teknologi sebagai antara bidang teras yang perlu dikuasai.
Sejak era awal mederka lagi, negara kita sudahpun menampakkan kesungguhan untuk menjadikan bidang sains dan teknologi sebagai bidang ilmu yang diminati oleh generasi muda negara seperti murid-murid di sekolah. Buktinya, negara tanpa berlengah masa telah membina Universiti Sains Malaysia(USM) di Pulau Pinang pada tahun 1969 untuk menjadi wadah dalam memperkasakan ilmu sains dan teknologi kepada generasi muda negara.
Demikian juga dalam bidang ilmu berasaskan teknologi, pihak pemerintah telah menubuhjkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bertempat di Skudai, Johor. Inilah dua buah universiti awam yang menjadi perintis dalam menggerakkan minat untuk belajar menguasai sains dan teknologi.
Pusat pengajian tinggi yang berasaskan ilmu sains teknologi tetapi berkonsepkan gabungan ilmu naqli dan aqli juga telahpun diwujudkan di negara kita. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang kampus utamanya di Nilai, Negeri Sembilan telah merancakkan lagi agenda negara untuk membangunkan modal insan yang berketerampilan unggul dan berilmu tinggi dalam lapangan sains dan teknologi.
Selain itu, negara kita juga memiliki puluhan buah sekolah teknik dajn politeknik. Inilah menunjukkan betapa bersungguhnya negara kita dalam mengetengahkan bidang ilmu sains dan teknologi untuk dikuasai oleh rakyat jelata khususnya anak-anak muda.
Perkembangan ilmu sains dan teknologi yang tidak pernah terhenti itu membuatkan pihak kerajaan terus mengorak langkah menubuhkan pelbagai institusi pengajian tinggi yang lain semata-mata bagi membuka ruang dan memberikan peluang seluas-luasnya kepada sesiapa yang berkelayakan untuk mempelajari sains dan teknologi.
Namun, amat mendukacitakan apabila dalam masa negara begitu bersungguh untuk menampilkan karakter selaku sebuah negara yang maju dengan rakyatnya mampu menguasai sains dan teknologi yang baik, semangat mahu menjadikan subjek sains dan teknologi dalam kalangan murid sekolah telah menurun dan tidak sehebat dulu lagi.
Kini dilaporkan kelas beraliran sains tulen tidak lagi mempunyai jumlah murid yang ramai, sebaliknya murid sekolah lebih teruja dengan memilih aliran kemanusiaan. Pelbagai alasan dan hujah telah diwar-warkan yang paling ketara ialah mereka bertanggapan bahawa subjek sains tulen dan teknologi adalah ‘subjek maut’ yang sukar dipelajari.
Stigma negatif itu dilihat semakin merebak luas sehingga menimbulkan fenomena baharu dalam kalangan murid sekolah bahawa mereka perlu menjauhkan diri dari belajarnya. Hakikat itu sebenarnya amat merugikan negara dan ummah pada masa akan datang.
Usah kita lupa bahawa umat Islam pernah mengukir sejarah penuh gemilang dalam bidang STEM dan kejayaan itu menjadi bukti bahawa STEM bukan benda asing dan sukar untuk dikuasai oleh generasi muda hari ini.
Umat Islam pernah tampil dengan karakter jitu selaku perintis ulung dalam aneka ilmu STEM yang jika mahu disebut satu persatu nama ilmuwan muslim yang berjaya itu panjang memerlukan halaman catatan yang panjang. Sebutlah apapun bidang ilmu STEM, maka di situ kita akan ketemui nama-nama muslim yang menjadi pelopornya.
Pesanan Baginda Nabi SAW yang amat menggalakkan umatnya mencari ilmu sememangnya telah menjadi bahan motivasi kepada masyarakat Islam suatu ketika dulu. Antara sabda Baginda yang mungkin telah menaikkan semangat mereka untuk berkejaran mencari, meneroka dan merintis ilmu ialah sebagaimana yang dungkapkan oleh Baginda ini, ‘Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju ke syurga.’  (Hadis riwayat Muslim)
Ilmu yang masyarakat Islam dulu-dulu cari dan terokai bukan setakat ilmu berkaitan hal ehwal agama semata-mata, sebaliknya trend murni ketika itu yang menggambarkan fenomena ‘dahaga ilmu’ sangat ketara. Hal itu termasuklah dalam ilmu STEM. Lebih menariknya para ilmuwan itu bukan sahaja tertumpu sepenuhnya dalam satu-satu bidang ilmu sahaja, tetapi sikap tamakkan ilmu telah memberikan senario luar biasa dengan penonjolan daya usaha untuk mengaut seberapa banyak ilmu yang termampu.
Perlulah kita, khususnya anak muslim masa kini insafkan ialah situasi gemilang yang dicapai oleh ilmuwan Islam dulu itu bukan menerusi jalan mudah. Mereka tepaksa memaksakan diri dan ‘memujuk hati’ untuk mencari ilmu dengan mengembara dari satu kawasan ke satu kawasan.
Mereka hidup bukan seperti kehidupan di zaman kita ini yang segalanya mudah dan akses untuk memperoleh bahan sumber boleh dicapai dengan hujung jari sahaja. Kesungguhan mereka kerana ‘terpanggil’ dengan motivasi agama yang menganjurkan umat Islam agar sentiasa mengutamakan ilmu pengetahuan. Mereka benar-benar sedar bahawa Islam bukan sekadar beribadah dalam masjid dan surau sahaja.
Mereka juga sedar bahawa ganjaran pahala di sisi Allah bukan hanya diperolehi di atas sejadah sahaja, sebaliknya mereka memahami setiap langkah kaki mereka untuk mencari dan mendalami ilmu adalah ibadah kepada Allah yang berbuah pahala yang besar.
Generasi muda muslim hari ini baik di peringkat sekolah mahupun di tahap IPT sewajar menjadikan kesungguhan dan semangat jitu ilmuwan terdahulu sebagai peniup motivasi untuk kembali menjadi umat pelopor ilmu STEM. Meskipun jalannya sukar penuh rintangan, namun demi kesejahteraan negara dan ummah di masa mendatang, perlulah dihadapi dengan tabah dan cekal.
Bersama kita angkat martabat ummah bukan hanya dalam aspek ibadah khusus sahaja, sebaliknya dalam masa yang sama menguatkan semangat untuk seiring maju dalam pelbagai bidang seperti STEM dengan umat yang lain. Kita umat Islam tidak boleh sekadar menjadi ‘penonton’ sahaja dalam ‘arena ilmu’ moden masa kini. Kita semua, khasnya generasi muda seharusnya bertindak agresif memajukan diri untuk tampil sebagai umat termaju.
Penulis merupakan Pensyarah Utama di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah
Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *