KUALALUMPUR— Skuad olahraga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuka saingan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 dengan gemilang apabila kuartet 4×100 meter (m) wanita menghadiahkan emas pertama kontinjen universiti itu, selain memecahkan rekod kejohanan pada hari pertama pertandingan.
Kuartet dibarisi Fatin Ilyana Mat Nayan, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka, Mis’ezatul Shafieqa Sapawi dan Nur Izzati Eliana Suhaidi mencatat 46.60 saat (s) untuk muncul juara, mengatasi Universiti Putra Malaysia (UPM) yang meraih perak dengan catatan 47.72s.
Politeknik Malaysia (POLI) melengkapkan podium selepas mencatat 50.53s untuk gangsa.
Kejayaan itu menjadi detik penting buat skuad olahraga UPSI apabila pingat emas berkenaan merupakan emas pertama kontinjen universiti itu dalam temasya SUKIPT 2026.
Skuad olahraga UPSI turut hampir mencipta kejayaan berganda dalam acara 4x100m lelaki apabila meraih perak dengan catatan 40.16s, hanya 0.18 saat di belakang UPM yang mencatat 39.98s untuk emas.
Selain dua acara berganti-ganti itu, UPSI turut mengumpul lima lagi pingat menerusi pencapaian atlet dalam beberapa acara individu.
Sementara itu, Muhd Harith Haikal meraih perak dalam acara lompat jauh dengan catatan 7.10 meter (m), manakala Farisha Athirah memenangi perak dalam acara merejam lembing wanita dengan catatan 36.21m.
Dalam acara 10,000m jalan kaki wanita, Kaarthiyani a/p Parameswaran menyumbang pingat perak selepas mencatat masa 59 minit 51.59 saat, manakala rakan sepasukannya, Putri Yasmin Mohd Pisol meraih gangsa dengan catatan 1 jam 3 minit 13.46 saat.
Seorang lagi atlet UPSI, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas, turut menyumbang gangsa dengan catatan 58.92s.
Secara keseluruhan, skuad olahraga UPSI mengumpul tujuh pingat pada hari pertama saingan, terdiri daripada satu emas, empat perak dan dua gangsa.
Photo credit dan sumber: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


Leave a Reply