PUTRAJAYA, 28 Ogos – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) meneroka ruang kerjasama strategik bagi memperkukuh pembangunan produk serta ekosistem industri kenaf negara.
Naib Canselor UMK Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah berkata kerjasama itu penting bagi memastikan kepakaran dan hasil penyelidikan universiti dapat diterjemahkan kepada penyelesaian industri, produk bernilai tambah serta manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan ketika kunjungan hormat dan perbincangan strategik delegasi UMK bersama Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di Kementerian Perladangan dan Komoditi, di sini hari ini.
“Bagi saya, kekuatan sesebuah universiti bukan hanya terletak pada jumlah penerbitan atau penemuan penyelidikan, tetapi pada sejauh mana ilmu dan kepakaran universiti dapat diterjemahkan menjadi nilai ekonomi, penyelesaian industri dan manfaat kepada masyarakat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata UMK turut berkongsi beberapa inisiatif serta hasil penyelidikan berkaitan pembangunan produk berasaskan kenaf yang berpotensi untuk dipertingkatkan, diperluas dan dikomersialkan.
Menurutnya, antara cadangan strategik yang diketengahkan ialah penubuhan Konsortium Kenaf sebagai platform kolaboratif yang menghimpunkan universiti, kementerian, agensi kerajaan, industri serta pemain dalam ekosistem kenaf.
“Kerjasama ini berpotensi menjadi pemangkin kepada penyelarasan kepakaran, penyelidikan, inovasi, pembangunan teknologi, pemindahan ilmu dan pengkomersialan produk kenaf secara lebih tersusun dan berimpak,” katanya.
Prof. Arham Abdullah berkata kenaf tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai komoditi pertanian, sebaliknya mempunyai potensi besar untuk menjadi sebahagian daripada rantaian nilai baharu ekonomi negara.
Katanya, potensi itu termasuk dalam pembangunan bahan dan produk bernilai tambah, teknologi hijau serta penyelesaian industri yang lebih mampan.
Beliau turut menegaskan keperluan universiti untuk berada lebih dekat dengan industri dan responsif terhadap keperluan negara, selain berani membawa hasil penyelidikan keluar dari makmal untuk diterjemahkan kepada produk serta penyelesaian sebenar.
Dalam perkembangan sama, UMK turut berkongsi perancangan pelaksanaan Karnival Fakulti Industri Asas Tani (AGX) 2026, yang akan menjadi salah satu platform memperlihatkan kekuatan penyelidikan, inovasi dan produk berpotensi hasil kepakaran warga universiti.
Beliau berkata kerjasama UMK bersama KPK dan agensi di bawah kementerian itu diyakini mampu menjadi langkah penting dalam membina ekosistem kenaf yang lebih bersepadu, merangkumi rantaian daripada penyelidikan kepada inovasi, pengkomersialan dan seterusnya penciptaan nilai ekonomi.
Hadir sama Menjalankan Fungsi Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail, serta Dekan dan penyelidik Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) dan Pengarah Pusat Pemindahan Teknologi (TTC) UMK.
Photo credit: Universiti Malaysia Kelantan (UMK)


Leave a Reply