Home / Kampus / UNIMAS Business School raih dua pengiktirafan pada META 2026

UNIMAS Business School raih dua pengiktirafan pada META 2026

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus mengukuhkan kecemerlangan dalam bidang pendidikan berorientasikan industri apabila UNIMAS Business School (UBS) meraih dua pengiktirafan pada Malaysia Education & TVET Awards (META) 2026, di sini hari ini.

UBS menerima Industry-Ready Education Excellence Award, manakala Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Dr. Puah Chin Hong, dianugerahkan Visionary Leadership Award pada majlis yang berlangsung di Berjaya Times Square Hotel.

Pengiktirafan itu menyusuli pencapaian berganda UBS pada META 2025, sekali gus meneruskan rekod kecemerlangan institusi berkenaan dalam memperkukuh hubungan antara pendidikan, pembangunan profesional dan keperluan industri.

Industry-Ready Education Excellence Award mengiktiraf usaha UBS dalam menyediakan pendidikan yang relevan dan praktikal selaras dengan perubahan keperluan industri serta tuntutan tenaga kerja masa hadapan.

Anugerah berkenaan diterima bagi pihak UBS oleh Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit.

Sementara itu, Visionary Leadership Award diberikan kepada Prof. Dr. Puah Chin Hong sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan strategiknya dalam memperkukuh peranan UBS dalam bidang pendidikan profesional, penglibatan industri serta pembelajaran sepanjang hayat.

Pencapaian tersebut mencerminkan usaha kolektif warga UBS yang turut mendapat sokongan Lembaga Pengarah, barisan pengurusan dan warga kerja UBS, kepimpinan serta fakulti UNIMAS, selain rakan strategik, tenaga pengajar, pelanggan dan pelbagai pihak yang menyumbang kepada perkembangan institusi berkenaan.

Pengiktirafan berganda itu turut memperlihatkan komitmen berterusan UNIMAS dan UBS dalam memperkasa pendidikan yang responsif terhadap keperluan industri, di samping memperluas jaringan kerjasama strategik bagi pembangunan bakat dan peningkatan kemahiran sepanjang hayat.

Photo credit: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *