Home / Kampus / UMS, Jabatan Tenaga Atom meterai MoU perkasa sains dan keselamatan nuklear

UMS, Jabatan Tenaga Atom meterai MoU perkasa sains dan keselamatan nuklear

KOTA KINABALU Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang sains, penyelidikan dan keselamatan nuklear menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Tenaga Atom, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

MoU itu dimeterai Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor bersama Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom, Puan Noraishah Pungut dan disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, Datin Safida Zalma Mohd Piah pada satu majlis di sini, hari ini.

Hadir sama Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof. Ts. Dr. Rodeano Roslee serta para penyelidik fakulti.

UMS dalam satu kenyataan berkata kerjasama tersebut menjadi platform bagi menghubungkan kepakaran saintifik serta kemudahan penyelidikan UMS dengan kepakaran dan fungsi kawal selia Jabatan Tenaga Atom dalam aspek keselamatan atom negara.

Menerusi kerjasama yang dirangka untuk tempoh lima tahun itu, kedua-dua pihak akan melaksanakan pelan tindakan bagi memastikan aktiviti yang dirancang dapat menghasilkan impak nyata, khususnya dalam bidang penyelidikan, pembangunan bakat dan pemindahan ilmu.

Kerjasama berkenaan turut membuka ruang untuk kepakaran penyelidik UMS dimanfaatkan secara lebih optimum bersama pihak berkuasa kawal selia, dengan penekanan terhadap aspek keselamatan, sekuriti dan kawalgunaan tenaga atom pada tahap tertinggi.

Empat teras strategik menjadi fokus utama MoU berkenaan, iaitu Program Jangkauan STEM dan Literasi Masyarakat; Penyelidikan Gunaan dan Penjanaan Ilmu; Pengayaan Akademik dan Pengawasan Pascasiswazah; serta Pembangunan Modal Insan dan Latihan Industri.

Bagi memastikan kerjasama itu dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan, satu jawatankuasa bersama yang dianggotai wakil UMS dan Jabatan Tenaga Atom akan diwujudkan.

Jawatankuasa berkenaan bertanggungjawab menilai cadangan projek, memantau perkembangan pelaksanaan serta menyelaras kumpulan kerja khas mengikut bidang dan keperluan kerjasama.

Inisiatif itu turut dijangka memperluas peluang penyelidikan gunaan dan penghasilan ilmu baharu, selain memperkukuh pengalaman akademik serta pendedahan industri dalam kalangan pelajar, khususnya di peringkat pascasiswazah.

Photo credit: Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *