KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengukuhkan reputasinya dalam pendidikan dan latihan teknikal apabila dinobatkan sebagai penerima Malaysia’s TVET University of the Year Award 2026 pada Malaysia Education & TVET Awards (META) 2026, di sini hari ini.
Pengiktirafan berkenaan disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia, Profesor Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali kepada Naib Canselor UTHM, Prof Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali.
Menurut Prof. Mas Fawzi, pengiktirafan tersebut membuktikan agenda strategik universiti menerusi Global Technopreneur University 2030 (GTU2030) terus menunjukkan hasil yang positif.
Beliau berkata UTHM akan menjadikan pencapaian itu sebagai dorongan untuk memperluas lagi pendidikan TVET berimpak tinggi dengan memberi penekanan terhadap kemahiran teknikal, inovasi, keusahawanan serta keupayaan graduan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
“Kejayaan itu mencerminkan pencapaian UTHM dalam memperkukuh pendidikan TVET yang berorientasikan teknologi, selain memberi penekanan kepada pembangunan bakat berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri.
“Anugerah ini membuktikan bahawa agenda pemerkasaan TVET tinggi yang dilaksanakan UTHM berada pada landasan yang tepat.
“Pada masa sama, ia menyuntik semangat kepada kami untuk terus melahirkan modal insan yang bukan sahaja memenuhi keperluan industri, tetapi turut berupaya menerajui perubahan dan inovasi teknologi di peringkat global,” ujar beliau.
Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti) UTHM, Prof Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor berkata pencapaian itu hasil usaha berterusan universiti dalam memastikan agenda strategik, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan budaya kualiti dilaksanakan secara menyeluruh.
Katanya, pendekatan berkenaan turut diterjemahkan menerusi usaha memastikan program akademik dan kurikulum TVET UTHM sentiasa menepati perkembangan teknologi serta kehendak semasa industri.
Beliau berkata pengiktirafan tersebut akan menjadi pemangkin kepada UTHM untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti TVET berteraskan teknologi dan keusahawanan.
Antara pendekatan yang dilaksanakan UTHM ialah konsep ‘Teaching Factory’ yang memberi peluang kepada mahasiswa merasai suasana kerja dan proses operasi industri sebenar sebelum menamatkan pengajian.
Universiti itu turut memperluas peluang pembelajaran sepanjang hayat menerusi Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) dan Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualifications (APEL.Q), sekali gus memberi laluan kepada pengiktirafan pengalaman serta kompetensi sedia ada.
Dalam aspek keusahawanan pula, UTHM terus mengintegrasikan elemen teknologi tinggi dalam pendidikan bagi membentuk graduan yang mempunyai keupayaan mencipta nilai dan peluang pekerjaan, selain menjadi pencari kerja.
Hubungan dengan pihak industri turut diperkukuh bagi memastikan pembangunan kurikulum sentiasa mengambil kira keperluan Industri 4.0, kemunculan teknologi baharu dan peralihan ke arah ekonomi hijau.
Pencapaian di META 2026 itu sekali gus mengukuhkan aspirasi UTHM untuk muncul sebagai Global Technopreneur University menjelang 2030 melalui pendidikan TVET yang menggabungkan kepakaran teknikal, inovasi dan keusahawanan.
Photo credit: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)


Leave a Reply