KUANTAN — Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (UNIQSAAS) melancarkan Sistem eKaunseling UNIQSAAS sebagai langkah memperkukuh penyampaian perkhidmatan kaunseling secara digital kepada warga universiti.
Sistem berkenaan dilancarkan sempena Program Perhimpunan Ke Arah Perkhidmatan Cemerlang dan Cintai Negara yang menghimpunkan warga kerja UNIQSAAS dalam usaha memperkukuh budaya kerja cemerlang, patriotisme serta komitmen terhadap kecemerlangan institusi.
Sistem eKaunseling UNIQSAAS dibangunkan bagi memudahkan pelaksanaan sesi kaunseling secara dalam talian melalui Harmony Centre UNIQSAAS, sekali gus menyediakan akses yang lebih mudah dan fleksibel kepada warga universiti yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.
Inisiatif itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Pengurusan Teknologi Maklumat (JPTM), Jabatan Multimedia Kreatif & Komputeran (JMKK) serta kaunselor universiti dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan sokongan yang lebih cekap, mudah diakses dan mesra pengguna.
Naib Canselor UNIQSAAS, Prof Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata pendigitalan perkhidmatan kaunseling merupakan antara usaha penting universiti dalam memastikan aspek kesejahteraan mental dan emosi warga kampus terus diberi perhatian seiring perkembangan teknologi.
Beliau berkata sistem berkenaan turut mencerminkan komitmen UNIQSAAS untuk menyediakan perkhidmatan sokongan yang responsif dan selaras dengan keperluan warga universiti dalam persekitaran pendidikan tinggi yang semakin dinamik.
“Transformasi digital bukan sekadar melibatkan pengurusan akademik dan pentadbiran, tetapi turut merangkumi perkhidmatan sokongan yang menyentuh kesejahteraan warga universiti.
“Dengan adanya Sistem eKaunseling ini, kita berharap akses kepada perkhidmatan kaunseling dapat dipermudah dan warga universiti berasa lebih selesa untuk mendapatkan bantuan serta sokongan yang diperlukan,” katanya.
Projek pembangunan sistem itu diketuai Zarina Kamarozaman bersama pasukannya yang memainkan peranan dalam merealisasikan inisiatif pendigitalan perkhidmatan sokongan pelajar dan warga universiti.
Pelancaran berkenaan turut memperkukuh agenda transformasi digital UNIQSAAS, khususnya dalam memperluas penggunaan teknologi bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta kesejahteraan komuniti kampus.
Dalam perkembangan sama, program berkenaan turut dimulakan dengan tazkirah ringkas oleh Prof Mohd Zawavi yang menekankan kepentingan nilai integriti, amanah dan keikhlasan dalam melaksanakan tugas sebagai warga institusi pendidikan tinggi.
Beliau turut menyeru warga UNIQSAAS supaya mensyukuri nikmat keamanan dan kemerdekaan negara dengan menterjemahkan semangat patriotisme menerusi perkhidmatan berkualiti serta berimpak tinggi.
Majlis turut menyaksikan penyampaian kontrak baharu kepada anggota kerja yang layak serta penyerahan watikah kenaikan pangkat sebagai penghargaan terhadap prestasi, dedikasi dan komitmen mereka dalam melaksanakan amanah.
Photo credit: Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (UNIQSAAS)


Leave a Reply