KUALA LUMPUR — Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh agenda kelestarian menerusi kerjasama strategik bersama Yayasan Sime Darby (YSD) melalui Kursi Kelestarian UKM-YSD yang menjadi pemangkin kepada pembangunan penyelidikan, pendidikan dan bakat dalam bidang berkenaan.
Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata kerjasama yang terjalin sejak 2010 itu memainkan peranan penting dalam memperluas usaha universiti memperkasakan kelestarian melalui penghasilan ilmu, penyelidikan serta pembangunan modal insan.
Beliau berkata kerjasama UKM-YSD turut memberi tumpuan kepada bidang Perubahan Iklim, Penyelesaian Kitaran Pintar dan Perkongsian Pintar, selain memperkukuh jaringan antara akademia dengan industri.
“Kerjasama ini menjadi antara pemangkin kepada usaha memperkasa penyelidikan dan pendidikan dalam bidang kelestarian, di samping membangunkan bakat yang mampu menyumbang kepada agenda pembangunan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Syarahan Umum Penyandang Kursi Kelestarian UKM-YSD yang turut menyaksikan pelancaran buku Leading with Impact: The Art of Sustainability Leadership serta penyampaian Anugerah Biasiswa Kursi Kelestarian UKM-YSD kepada enam pelajar pascasiswazah.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Dr. Hajah Yatela Zainal Abidin; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Bariah Md Ali; Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Prof. Dr. Zainuddin Sajuri; serta Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Saintifik Kursi Kelestarian UKM-YSD, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ir. Mohd Marzuki Mustafa.
Syarahan umum bertajuk “Advokasi Kelestarian dalam Kerangka Al-Mizan” disampaikan oleh Penyandang Kursi Kelestarian UKM-YSD, Prof. Emeritus Datuk Dr. Azizan Baharuddin.
Majlis berkenaan turut menjadi platform untuk mengetengahkan peranan kepimpinan kelestarian dalam membentuk pendekatan yang lebih holistik terhadap isu alam sekitar, masyarakat dan pembangunan.
Dalam pada itu, pemberian biasiswa kepada enam pelajar pascasiswazah mencerminkan komitmen UKM-YSD dalam memperkukuh pembangunan bakat serta menggalakkan generasi akademik meneruskan penyelidikan berkaitan kelestarian.
Photo credit: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Leave a Reply