Home / Kampus / JPPKK, GMI perkukuh kerjasama strategik pembangunan TVET

JPPKK, GMI perkukuh kerjasama strategik pembangunan TVET

SELANGOR– Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) memperkukuh jaringan strategik dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi lawatan kerja ke German-Malaysian Institute (GMI) di Kajang, baru-baru ini.

Lawatan berkenaan menjadi platform bagi kedua-dua pihak meneroka peluang kerjasama dalam memperluas laluan pendidikan TVET, pembangunan kompetensi serta pemindahan pengetahuan dan teknologi yang memenuhi keperluan industri.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah pembangunan laluan pendidikan daripada politeknik dan kolej komuniti ke GMI, termasuk peluang melanjutkan pengajian serta membina jaringan pendidikan dengan institusi rakan strategik di Jerman.

Perbincangan turut meliputi potensi latihan industri, pembangunan kompetensi staf dan pelaksanaan program mobiliti melalui jaringan industri serta institusi pendidikan di Jerman.

Selain itu, JPPKK dan GMI turut mengenal pasti beberapa bidang kerjasama yang berpotensi diterokai, termasuk kursus jangka pendek, pensijilan profesional, latihan teknologi termaju serta penyelidikan gunaan.

Delegasi JPPKK turut diberi peluang meninjau kemudahan latihan berteknologi tinggi di GMI yang meliputi bidang automasi industri, robotik, mekatronik, teknologi hijau serta teknologi kenderaan hibrid dan elektrik.

Lawatan itu memberikan gambaran mengenai pendekatan latihan TVET yang mengintegrasikan penggunaan teknologi terkini dengan keperluan sebenar industri, sekali gus menjadi rujukan dalam usaha memperkukuh penyampaian pendidikan dan latihan berasaskan kemahiran.

Turut menyertai lawatan ialah pengarah-pengarah bahagian dan wakil bahagian JPPKK, mencerminkan komitmen bersama dalam memperluas jaringan strategik serta memperkukuh ekosistem TVET yang responsif terhadap perkembangan teknologi dan tuntutan pasaran pekerjaan.

Kerjasama JPPKK-GMI itu dijangka membuka lebih banyak ruang pembangunan kompetensi kepada pelajar dan tenaga pengajar, termasuk melalui pendedahan kepada teknologi termaju, pengalaman industri dan jaringan antarabangsa.

Photo credit: Politeknik.kolejkomuniti

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *