Home / Kampus / UniMAP perkasa kebolehpasaran graduan, lahir bakat mampu pimpin perubahan

UniMAP perkasa kebolehpasaran graduan, lahir bakat mampu pimpin perubahan

KANGAR– Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan menerusi penganjuran UniMAP Future Talent Roundtable 2026: Strategic Industry Dialogue on Graduate Employability yang menghimpunkan lebih 20 organisasi industri, baru-baru ini.

Program yang berlangsung pada 19 Ogos itu dirasmikan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan turut dihadiri Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Hirman Awang.

Seramai 35 pengurus serta wakil sumber manusia daripada pelbagai organisasi industri menyertai program berkenaan, termasuk NationGate, Bosch, MKS dan SanDisk.

Penganjuran Future Talent Roundtable 2026 menjadi platform strategik bagi UniMAP dan pihak industri berkongsi pandangan serta mengenal pasti keperluan semasa pasaran pekerjaan, khususnya dalam usaha memastikan graduan memiliki kemahiran yang relevan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dunia pekerjaan.

UniMAP mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 99.4 peratus pada 2025, sekali gus mencerminkan keberkesanan usaha universiti dalam mempersiapkan graduan menghadapi pasaran kerja.

Bagaimanapun, agenda kebolehpasaran graduan UniMAP tidak hanya tertumpu kepada aspek memperoleh pekerjaan, malah memberi penekanan kepada pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan, gaji kompetitif, perkembangan kerjaya serta keupayaan graduan menyumbang kepada industri dan negara.

Selaras dengan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026–2030, UniMAP turut memperkasa graduan menerusi penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI), analitik data dan teknologi digital, selain kemahiran insaniah, pengalaman industri serta pensijilan profesional.

Dialog strategik bersama industri itu turut membuka ruang kepada universiti mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai kompetensi dan kemahiran yang diperlukan majikan, sekali gus membantu memperkukuh pendekatan pembangunan bakat dan penyediaan graduan.

Melalui Future Talent Roundtable 2026, UniMAP berusaha membina saluran bakat yang lebih tersusun serta memperkukuh jaringan universiti-industri bagi memastikan pembangunan graduan sentiasa selari dengan keperluan semasa dan masa hadapan.

Inisiatif itu mencerminkan komitmen UniMAP untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia memasuki alam pekerjaan, malah mampu berkembang dalam kerjaya, menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta tampil sebagai pemimpin dan pencetus perubahan pada masa hadapan.

Photo credit: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *