Home / Kampus / PUO terajui misi pemerkasaan TVET Malaysia-Thailand di Betong

PUO terajui misi pemerkasaan TVET Malaysia-Thailand di Betong

IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) menerajui misi pemerkasaan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serantau menerusi Regional TVET Synergy Empowerment Programme yang akan berlangsung di Betong, Thailand dari 25 hingga 27 Ogos ini.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kolej Komuniti Gerik serta rakan strategik Thailand, Betong International College of Education and Community (BICEC), dalam usaha memperkukuh perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi dan khidmat komuniti antara kedua-dua negara.

Kontinjen gabungan Malaysia dan Thailand berlepas menerusi pelepasan rasmi hari ini bagi menjayakan misi yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan TVET, teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan komuniti serantau.

Program itu bertujuan mewujudkan rangkaian perkongsian ilmu berimpak tinggi antara institusi TVET Malaysia dan BICEC bagi menyokong pembangunan bidang berkenaan di Asia Tenggara.

Selain itu, inisiatif berkenaan memberi penekanan kepada pembangunan kompetensi pelajar menerusi bimbingan berfokuskan AI dan latihan praktikal, di samping memperkukuh pertukaran kepakaran AI dan Sains Data dalam kalangan pensyarah.

Pertukaran kepakaran itu turut menyokong usaha melahirkan Pakar Subjek Utama (SME) dalam bidang berkaitan, sekali gus memperkukuh peranan Pusat Simbiosis C-TeCH dalam mengantarabangsakan agenda TVET Malaysia.

Pada hari pertama program, peserta akan melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Tadika Nurul-Ihsan yang merangkumi kerja pembersihan kawasan, pemeriksaan pendawaian elektrik serta penyampaian bahan pendidikan kepada komuniti setempat.

Hari kedua pula memberi tumpuan kepada sesi pemindahan teknologi dan bengkel amali AI meliputi penggunaan alatan pengajaran, aplikasi kejuruteraan serta analitik data, sebelum diakhiri dengan pembentangan projek pelajar.

Kerjasama itu turut mendapat sokongan kepimpinan tempatan Daerah Pengkalan Hulu serta komuniti Belukar Semang dalam usaha memupuk integrasi serantau dan pertumbuhan sosioekonomi menerusi diplomasi pendidikan.

Photo credit: Politeknik Ungku Omar (PUO)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *