Putrajaya – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperkukuh aspek pengurusan, tadbir urus dan pembangunan institusi menerusi kunjungan hormat pengurusan tertinggi universiti ke Kementerian Kewangan Malaysia, hari ini.
Kunjungan yang diketuai Naib Canselor UMK, Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah itu diadakan bersama Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Datuk Sri Ab Rahim Ab Rahman, selain turut disertai Ahli Lembaga Pengarah UMK Salmira Mohd Shukri.
UMK dalam kenyataan berkata pertemuan berkenaan menjadi platform untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta mendapatkan perspektif lebih luas dalam usaha memperkukuh pengurusan dan tadbir urus universiti.
Arham berkata perkembangan landskap pendidikan tinggi yang semakin dinamik menuntut universiti sentiasa bersedia melakukan perubahan dan penambahbaikan terhadap kaedah pengurusan.
“Setiap cabaran perlu dilihat sebagai peluang untuk memperkemas sistem, meningkatkan kecekapan dan mencari pendekatan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pertemuan sama, Ab Rahim turut bersetuju menerima pelantikan sebagai Profesor Adjung UMK.
Arham berkata pelantikan berkenaan diyakini dapat memberi nilai tambah kepada UMK berdasarkan pengalaman, kepakaran serta pandangan luas Ab Rahim, khususnya dalam aspek pengurusan, tadbir urus dan pembangunan institusi.
“Pelantikan ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi satu peluang untuk UMK terus membina jambatan antara dunia akademia dengan pengalaman kepimpinan serta pengurusan sektor awam,” katanya.
Beliau berkata jaringan strategik antara UMK dan Kementerian Kewangan itu akan terus diperkukuh bagi menyokong usaha universiti membina institusi yang lebih kukuh, cekap serta memberi manfaat kepada warga universiti dan masyarakat.
Photo credit: Universiti Malaysia Kelantan (UMK)


Leave a Reply