Home / Kampus / PUO, YADIM perkasa kefahaman fiqh muamalah era kewangan digital

PUO, YADIM perkasa kefahaman fiqh muamalah era kewangan digital

IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) memperkasa kefahaman masyarakat mengenai fiqh muamalah dalam mendepani perkembangan kewangan digital menerusi penganjuran Seminar Fiqh Muamalah 2026 Peringkat Negeri Perak.

Seminar yang berlangsung di Dewan Jubli Perak PUO di sini itu mengetengahkan tema ‘Riba dalam Era Kewangan Digital: Kupasan terhadap E-Wallet, BNPL dan Kad Kredit’, dengan menampilkan tokoh fiqh muamalah dan kewangan Islam Dr Zaharuddin Abdul Rahman sebagai penceramah.

Program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan kemudahan kewangan digital dari perspektif Syariah, selain memberi kefahaman mengenai aspek hukum, tanggungjawab dan implikasi transaksi kewangan moden.

Pengarah YADIM Negeri Perak Ramdani Abdul Karim berkata program kesedaran berkaitan kewangan Islam khususnya kewangan digital akan turut dilaksanakan kepada komuniti Islam di negeri itu dalam masa terdekat.

Beliau berkata Perak bakal menjadi negeri pertama melaksanakan program dakwah berkenaan menerusi penglibatan surau, masjid termasuk komuniti di kawasan desa.

“Perkembangan zaman yang pesat perlu sentiasa dipandu ilmu yang sahih supaya masyarakat mampu menangani pelbagai persoalan baharu dengan tepat.

“Perubahan dalam dunia kewangan digital turut menimbulkan persoalan baharu yang memerlukan kefahaman fiqh muamalah agar masyarakat dapat membuat keputusan berasaskan panduan Syariah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri seminar berkenaan di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ramdani berkata penggunaan kemudahan Buy Now, Pay Later (BNPL) semakin meningkat dan menjadi sebahagian daripada corak perbelanjaan masyarakat, termasuk dalam kalangan pelbagai peringkat usia.

Katanya, kemudahan itu jika tidak digunakan secara berhemah berpotensi menjadi perangkap hutang kepada pengguna.

“Sehubungan itu, masyarakat Islam perlu memiliki kefahaman kewangan dan ilmu fiqh muamalah yang baik sebelum menggunakan sebarang kemudahan kewangan digital.

“Kemudahan seperti e-wallet, BNPL dan kad kredit bukan sahaja perlu dinilai dari sudut kemudahan, malah aspek hukum, tanggungjawab serta kesannya terhadap kedudukan kewangan individu,” katanya.

Beliau berkata kefahaman berkaitan kewangan Islam perlu disampaikan menggunakan bahasa dan pendekatan yang mudah difahami, khususnya kepada golongan berusia yang turut menggunakan kemudahan kewangan digital.

“Sesi seperti ini menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat bukan sahaja yang celik kewangan, malah mampu mengikuti perkembangan semasa serta bijak membuat keputusan berlandaskan nilai Islam,” katanya.

Sementara itu, seminar berkenaan turut memberi ruang kepada peserta memahami dengan lebih mendalam prinsip Syariah dalam urusan kewangan harian, termasuk kaedah menilai status patuh Syariah bagi aplikasi dan transaksi kewangan moden.

Photo credit: Politeknik Ungku Omar (PUO)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *