KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperbaharui kerjasama strategik bagi memperkukuh ekosistem perlindungan sosial negara dalam mendepani perubahan pesat dunia pekerjaan.
Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof Dr Noor Azuan Abu Osman berkata kerjasama itu bukan sekadar perkongsian sumber dan kepakaran, sebaliknya mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan ilmu pengetahuan diterjemahkan kepada perlindungan, maruah dan peluang yang lebih baik kepada rakyat yang memerlukannya.
Beliau berkata hubungan antara UM dan PERKESO telah berkembang daripada penyelidikan dan penghasilan bukti kepada pembangunan dasar serta pelaksanaan, sebelum akhirnya memberi manfaat secara langsung kepada kehidupan rakyat Malaysia.
“Nilai sebenar sesebuah kerjasama adalah apabila ia menyumbang kepada pembinaan negara serta meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan berhubung pembaharuan kerjasama UM dan PERKESO.
Menurutnya, sejak 2018, UM dan PERKESO membina asas kukuh menerusi Social Wellbeing Research Centre (SWRC), dengan sokongan komitmen RM10 juta daripada PERKESO bagi tempoh 2021 hingga 2030.
Beliau berkata pembaharuan kerjasama bagi tempoh 2026 hingga 2030 perlu membawa kedua-dua institusi melangkah lebih jauh dalam memperkukuh agenda perlindungan sosial negara.
Katanya, perubahan pesat dunia pekerjaan yang didorong kecerdasan buatan (AI), automasi, peningkatan populasi menua, model pekerjaan baharu dan ketidaktentuan ekonomi sedang mengubah cara masyarakat bekerja, bersara dan melindungi sumber kehidupan.
“Perlindungan sosial tidak lagi boleh sekadar menjadi jaringan keselamatan, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada infrastruktur strategik Malaysia,” katanya.
Dalam konteks itu, beliau berkata UM akan menyumbangkan kepakaran, penyelidikan dan data terbaiknya, manakala PERKESO mempunyai capaian nasional, pengalaman institusi serta keupayaan menterjemahkan bukti kepada tindakan.
Beliau berkata kerjasama kukuh bukan sekadar berkongsi sumber, malah mampu menggandakan keupayaan negara dalam membangunkan sistem perlindungan sosial yang lebih berkesan.
“Cita-cita kita jelas iaitu bergerak daripada penyelidikan kepada wawasan masa depan, daripada bukti kepada pelaksanaan dan daripada kerjasama kepada transformasi nasional.
“Matlamatnya adalah membina ekosistem perlindungan sosial yang lebih bersedia menghadapi perubahan, inklusif dan berdaya tahan,” katanya.
Menurutnya, kejayaan kerjasama berkenaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah laporan yang dihasilkan, sebaliknya berdasarkan sejauh mana pekerja mendapat perlindungan lebih baik, keluarga lebih terjamin, golongan warga emas dapat menjalani kehidupan dengan bermaruah serta generasi akan datang menghadapi perubahan dunia dengan lebih yakin.
Photo credit: Universiti Malaya (UM)


Leave a Reply