Home / Kampus / UTHM-KTMB perkukuh kerjasama teknologi rel, pembangunan bakat

UTHM-KTMB perkukuh kerjasama teknologi rel, pembangunan bakat

KUALA LUMPUR– Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh jaringan strategiknya dengan industri menerusi kerjasama bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam bidang teknologi rel, khususnya pembelajaran berasaskan kerja (Work-Based Learning-WBL), penyelidikan bersama dan pembangunan kompetensi sumber manusia.

Kerjasama selama tiga tahun bermula Oktober 2026 hingga Julai 2029 itu dimeterai menerusi Majlis Penukaran Dokumen Perjanjian antara UTHM dan KTMB yang berlangsung di dalam Tren Sewa Khas KTMB, di sini.

Penukaran dokumen perjanjian itu menyaksikan UTHM diwakili Naib Canselor Prof Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, manakala KTMB diwakili Ketua Pegawai Korporat Megat Khairulazhar Khairodin.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan menggabungkan kepakaran akademik, penyelidikan dan teknologi UTHM dengan pengalaman operasi serta kepakaran teknikal KTMB bagi memperkukuh pembangunan bakat dan teknologi dalam industri pengangkutan rel negara.

Antara fokus utama kerjasama ialah pelaksanaan WBL bagi pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pengangkutan Rel dengan Kepujian, yang memberi peluang kepada pelajar memperoleh pendedahan secara langsung dalam persekitaran operasi sebenar KTMB.

Menerusi pendekatan itu, pelajar berpeluang mengaplikasikan pengetahuan akademik, meningkatkan kemahiran teknikal dan profesional serta memahami keperluan industri sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

UTHM dan KTMB turut meneroka kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang teknologi rel dengan memanfaatkan kepakaran akademik serta kemudahan penyelidikan UTHM, di samping pengalaman operasi dan data industri KTMB.

Kerjasama berkenaan berpotensi menghasilkan penyelesaian yang lebih praktikal terhadap cabaran teknikal berkaitan tren dan infrastruktur rel, selaras dengan perkembangan teknologi dalam sektor pengangkutan rel.

Selain itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam perundingan akademik bagi program peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan pascasiswazah dalam bidang teknologi kejuruteraan pengangkutan rel di Akademi KTM (MyRA).

Kerjasama turut meliputi perkongsian ilmu menerusi forum industri, lawatan akademik dan aktiviti pembangunan kompetensi, selain usaha meningkatkan kelayakan dan kompetensi kakitangan melalui peluang melanjutkan pengajian, program latihan serta pemindahan ilmu dan kepakaran.

Majlis berkenaan diadakan sempena Program Rel Merdeka 69 yang diselaraskan Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat UTHM bagi meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-69 peringkat universiti.

Photo credit: FB Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Editor Kampuskini.my avatar
  1. Liputan Berita UTHM: 22 Ogos 2026 – Berita UTHM

    […] UTHM-KTMB perkukuh kerjasama teknologi rel, pembangunan bakat […]

  2. UTHM-KTMB perkukuh kerjasama strategik teknologi rel sempena Peluncuran Rel Merdeka 69 – Berita UTHM

    […] UTHM-KTMB perkukuh kerjasama teknologi rel, pembangunan bakat […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *