Home / Kampus / UPNM sokong agenda One Higher Education Act transformasi pendidikan tinggi negara

UPNM sokong agenda One Higher Education Act transformasi pendidikan tinggi negara

KUALA LUMPUR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menyambut baik dan menyokong komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkenalkan kerangka perundangan baharu menerusi agenda One Higher Education Act (OHEA) berteraskan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

UPNM dalam kenyataan berkata penggubalan akta baharu itu merupakan langkah progresif dan strategik bagi mentransformasikan ekosistem pengajian tinggi negara supaya kekal relevan, dinamik dan berdaya saing di peringkat global.

Menurutnya, kerangka perundangan baharu berkenaan perlu bukan sahaja memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan pemerkasaan suara mahasiswa, malah memastikan aspek tadbir urus serta akauntabiliti universiti terus terpelihara.

“Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam yang memegang niche strategik dalam bidang pertahanan dan keselamatan negara, UPNM bersedia untuk terlibat secara aktif dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siri sesi libat urus, perbincangan meja bulat serta jawatankuasa penggubalan yang bakal dianjurkan oleh KPT,” menurut kenyataan itu.

UPNM berkata pihaknya juga bersedia menyumbang pandangan konstruktif serta kepakaran akademik dan perundangan strategik bagi menyokong pembentukan kerangka perundangan baharu yang inklusif, mantap dan holistik.

Universiti itu yakin pendekatan inklusif yang diterajui KPT mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan modal insan berintegriti, berdaya tahan dan beradab tinggi yang berupaya menyumbang secara holistik kepada pembangunan serta kedaulatan Malaysia.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *