TANJONG MALIM, 12 Ogos 2026 – Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperluas akses ilmu dengan menyumbangkan 269 naskhah buku kepada pelajar Program Diploma Keusahawanan Pelita Suluh Budiman (PSB) Kohort 2 di Penjara Kluang, Johor.
Bahan bacaan berkenaan yang dihantar pada 12 Ogos itu akan dimanfaatkan sebagai sumber sokongan pembelajaran pelajar program kendalian Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) UPSI.
Ketua Pustakawan PTB, Noriha Muhammad berkata sumbangan kali kedua itu mencerminkan komitmen perpustakaan dalam memastikan akses kepada ilmu dan sumber maklumat dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang serta batasan persekitaran.
“Walaupun pembelajaran mereka berlangsung di sebalik tembok dan jeriji besi, hak mereka sebagai pelajar untuk memperoleh ilmu dan mengakses sumber maklumat tidak seharusnya dibatasi.
“Saya percaya bahawa ilmu mampu membuka ruang kepada perubahan, membina keyakinan dan memberikan harapan untuk masa hadapan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata koleksi yang disumbangkan merangkumi pelbagai bidang termasuk ekonomi, keusahawanan, motivasi dan bacaan ringan bagi menyokong keperluan pembelajaran serta memperkayakan pengetahuan para pelajar.
“Pada kali ini, PTB turut menyumbangkan bahan bacaan keagamaan termasuk al-Quran untuk dimanfaatkan sebagai sumber pembelajaran dan rujukan di sekolah tahfiz yang turut beroperasi di Penjara Kluang,” katanya.
Menurutnya, inisiatif berkenaan turut memperlihatkan peranan perpustakaan sebagai jambatan ilmu yang menghubungkan institusi pendidikan dengan masyarakat, bukan sekadar menyediakan bahan bacaan kepada komuniti kampus.
Beliau berkata PTB akan terus memberikan sokongan kepada pelajar Program PSB bagi memastikan mereka mendapat akses kepada sumber ilmu yang berkualiti, sekali gus membantu membentuk pelajar yang berilmu dan berdaya tahan.
“Melalui usaha berterusan seperti ini, PTB berharap dapat menyumbang kepada pembentukan graduan Program Pelita Suluh Budiman yang berilmu, berdaya tahan dan bersedia membina kehidupan yang lebih bermakna apabila kembali kepada masyarakat,” katanya.


Leave a Reply