Home / Mahasiswa / Disangka panggilan scammer, Saidatulnisya kini graduan perintis Biasiswa SULUNG

Disangka panggilan scammer, Saidatulnisya kini graduan perintis Biasiswa SULUNG

oleh Editorial Kampuskini

PEKAN – Panggilan telefon daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang pada awalnya disangka cubaan penipuan oleh keluarganya rupa-rupanya membawa khabar gembira apabila Saidatulnisya Saad, 25, ditawarkan Biasiswa SULUNG tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sekali gus membolehkannya menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan dari Fakulti Pengurusan Industri UMPSA itu merupakan antara kumpulan perintis penerima Biasiswa SULUNG yang diperkenalkan bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian ke universiti awam.

Bapanya, Saad Sani, 58, berkata beliau pada mulanya berasa ragu-ragu apabila menerima panggilan berkenaan kerana bimbang ia merupakan cubaan penipuan, sebelum pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMPSA hadir sendiri ke rumah mereka untuk menyampaikan surat tawaran rasmi.

Beliau berkata tawaran biasiswa itu menjadi kelegaan besar buat keluarga mereka yang berdepan kekangan kewangan ketika anak sulung daripada dua beradik itu mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke UMPSA.

Saidatulnisya berkata beliau hampir menolak tawaran pengajian berkenaan selepas memikirkan kemampuan kewangan keluarga, walaupun UMPSA merupakan pilihan pertama dalam permohonan kemasukan melalui UPU.

“Selepas menamatkan pengajian diploma di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), saya meletakkan UMPSA sebagai pilihan pertama dan sementara menunggu keputusan, saya bekerja sambilan di Tampin.

“Namun, memikirkan kekangan kewangan keluarga ketika itu, saya hampir membuat keputusan sukar untuk menolak tawaran berkenaan,” katanya.

Beliau berkata Biasiswa SULUNG bukan sekadar bantuan kewangan, malah menjadi pembakar semangat untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya memperoleh ijazah.

“Saya amat berterima kasih kepada Yayasan UMPSA dan KPT kerana memberi kepercayaan serta menawarkan biasiswa ini. Tanpa sokongan tersebut, perjalanan akademik saya pastinya lebih mencabar,” katanya.

Sepanjang pengajian, Saidatulnisya turut aktif dalam kegiatan kokurikulum dan kepimpinan mahasiswa, antaranya sebagai Setiausaha Agung Kor Suksis, Setiausaha Squad serta Timbalan Presiden Kelab Anak Negeri Sembilan.

Beliau juga terlibat dalam beberapa program mobiliti antarabangsa ke Aceh, Ho Chi Minh dan Sydney, Australia, termasuk diberi tanggungjawab sebagai pengarah program mobiliti ke Sydney.

Anak kepada Noraini Ibrahim, 45, yang bekerja sebagai buruh am dan Saad yang bekerja sendiri itu berkata kesusahan keluarga menjadi pendorong untuknya berusaha mencapai kejayaan serta mengubah masa depan mereka.

Kini, beliau telah memulakan kerjaya dalam bidang kawalan kualiti di Cohu Malaysia.

Saidatulnisya berharap kejayaannya dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah supaya tidak menjadikan kekangan kewangan sebagai penghalang untuk melanjutkan pengajian dan mencapai cita-cita.

Untuk rekod, Biasiswa SULUNG menyediakan pembiayaan pendidikan kepada pelajar daripada keluarga B40 yang menjadi individu pertama dalam keluarga melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam.

Bantuan itu merangkumi pengecualian yuran pengajian berulang dan tidak berulang sepanjang tempoh pengajian bagi membantu meningkatkan akses pendidikan tinggi serta mobiliti sosial keluarga penerima.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:38


Subuh

05:48


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:21


Maghrib

18:58


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM