oleh Khalifa Affnan
KENINGAU– Pelajar Kolej Vokasional Keningau (KVK) dan Namwon Jeil High School, Korea Selatan, berkongsi kemahiran serta budaya kulinari menerusi program pertukaran antarabangsa yang berlangsung selama tiga hari baru-baru ini.
Program pada 26 hingga 28 Okt itu memberi peluang kepada pelajar kedua-dua negara mempelajari teknik penyediaan makanan tradisional masing-masing, selain mengaplikasikan kemahiran vokasional melalui aktiviti memasak secara bersama.
Antara pengisian utama ialah sesi penyediaan linopot, makanan tradisional Sabah berasaskan nasi yang dibungkus menggunakan daun, di bawah bimbingan cef Malaysia Saumon Maliki.
Pelajar Korea Selatan turut didedahkan kepada penyediaan hidangan berkenaan bagi mengenali warisan makanan tempatan serta kaedah penyediaannya.
Sebagai pertukaran, cef Korea Selatan Choi Joungwon mengendalikan sesi penyediaan ayam goreng Korea dan gimbap, sekali gus memberi peluang kepada pelajar Malaysia mempelajari teknik masakan negara berkenaan.
Aktiviti “Memasak untuk Rakan” pada hari terakhir menjadi kemuncak program apabila pelajar Malaysia menyediakan hidangan untuk delegasi Korea Selatan, manakala pelajar negara itu turut memasak untuk rakan tuan rumah mereka.
Program yang mendapat sokongan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), Kementerian Pendidikan itu merupakan kesinambungan tiga sesi interaksi dalam talian yang diadakan pada 23 Sept, 7 Okt dan 21 Okt sebelum kedua-dua kumpulan bertemu secara bersemuka.
Selain aktiviti kulinari, delegasi Korea Selatan turut dibawa mengunjungi pasar malam Keningau bagi mengenali makanan tempatan serta kehidupan masyarakat setempat.
Program yang diselaraskan Khalifa Affnan dengan bantuan Erma Gagah dan Kimberly V. Usit itu turut melibatkan Pasukan Seni Kulinari KVK dalam penyediaan serta pelaksanaan aktiviti sepanjang lawatan.
Pertukaran berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan kepada kemahiran penyediaan makanan, malah membuka ruang kepada pelajar meningkatkan kemahiran komunikasi, kerjasama berpasukan dan pemahaman silang budaya menerusi pengalaman pembelajaran antarabangsa.


Leave a Reply