oleh Nurul Huda Roslan
KOTA KINABALU – Seramai 160 calon pemimpin mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah menyertai Program Kepimpinan Tunas Satria Siri 1 dan 2 bagi memperkukuh bakat kepimpinan serta mempersiapkan mereka memikul tanggungjawab dalam organisasi dan masyarakat.
Program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM Cawangan Sabah itu dilaksanakan menerusi dua fasa, bermula dengan pengenalpastian bakat kepimpinan sebelum diteruskan dengan pengukuhan kompetensi dan pembangunan potensi peserta.
Kursus Kepimpinan Tunas Satria Siri 1 berlangsung pada 11 Okt lepas di Dewan Mustapha, Ujana Sarjana, UiTM Cawangan Sabah, dengan penyertaan 100 calon pemimpin mahasiswa daripada tujuh fakulti.
Siri pertama memberi tumpuan kepada pengumpulan bakat kepimpinan (talent pool) menerusi modul pembangunan diri, penerokaan jati diri, sinergi antara Hal Ehwal Pelajar dengan mahasiswa, serta pembentukan manifesto dan strategi pemasaran kepimpinan.
Pendekatan itu diteruskan menerusi Siri 2 pada 24 dan 25 Okt lepas di TAC Riverbug, Kiulu, yang melibatkan 60 calon pemimpin mahasiswa, 15 fasilitator dan dua pegawai Hal Ehwal Pelajar.
Siri kedua memberi penekanan kepada pengukuhan dan pembangunan bakat secara strategik menerusi modul Pemimpin Al-Amin, DNA UiTM serta latihan dalam kumpulan Rentak Borneo yang berasaskan pembelajaran melalui pengalaman luar.
Peserta turut mengikuti sesi perkongsian bersama Majlis Belia Sabah mengenai peranan golongan belia dalam pembangunan masyarakat dan kepimpinan yang disampaikan Timbalan Presidennya Osman Johari.
Pengisian lain termasuk debat mahasiswa, hala tuju pemimpin mahasiswa serta perkongsian pengalaman bersama Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan barisan MPP UiTM Cawangan Sabah sesi 2025/2026.
Program Siri 2 turut dirasmikan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sabah Ts. Dr. Ajimi Jawan.
Melalui pelaksanaan kedua-dua siri itu, peserta didedahkan kepada aspek pembentukan karakter, kesedaran kendiri, komunikasi, kerja berpasukan dan kemahiran menyelesaikan masalah, selain memahami kepentingan integriti, amanah serta tanggungjawab dalam kepimpinan.
Pendekatan pembangunan secara berfasa itu turut menyediakan asas kepada BHEP untuk membimbing bakat kepimpinan mahasiswa secara berterusan menerusi latihan, pemantauan dan pendedahan kepada tanggungjawab sebenar dalam organisasi.
Inisiatif berkenaan diharap dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai pencapaian akademik, malah berdaya tahan, berintegriti dan berkeupayaan memimpin di peringkat universiti, alam pekerjaan serta masyarakat.


Leave a Reply