oleh Editorial KampusKini
TANJONG MALIM – Seramai 22 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperoleh pengalaman mengendalikan acara e-sukan menerusi Kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) 2026 anjuran Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) dengan kerjasama UPSI Esports Club (UEC).
Kejohanan edisi ketiga yang berlangsung di Kompleks Sukan Proton pada 18 Okt itu menyaksikan mahasiswa berkenaan bertugas dalam aspek teknikal, pengendalian pertandingan, pengulas perlawanan serta operasi acara.
Penasihat Kedua UEC, Ts. Eimiza Faisha Azmi berkata penglibatan mahasiswa dalam penganjuran kejohanan sebenar memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran yang dipelajari di universiti.
Beliau berkata industri e-sukan bukan hanya menawarkan peluang kepada pemain profesional, malah merangkumi bidang pengurusan acara, penyiaran digital, pengacaraan, pengulasan pertandingan dan pengurusan teknikal.
“Penglibatan mahasiswa dalam kejohanan ini bukan sekadar membantu menjayakan sesuatu program, tetapi memberi peluang kepada mereka merasai sendiri pengalaman menguruskan acara sebenar yang memerlukan kemahiran teknikal, komunikasi, kepimpinan dan kerjasama berpasukan,” katanya.
Menurutnya, kerjasama berterusan dengan PONSB yang memasuki edisi ketiga itu turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk membina keyakinan diri dan meningkatkan kemahiran insaniah sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan.
Kejohanan itu dirasmikan Ketua Pegawai Sumber Manusia PONSB, Dr. Kasuma Satria Mat Jadi, dan turut dihadiri Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja PONSB, Mohd Azmi Abu Bakar.
Pertandingan berkenaan menawarkan hadiah keseluruhan RM2,700, dengan pasukan juara membawa pulang wang tunai RM1,000.
Selain menjadi platform pembangunan kemahiran mahasiswa, kejohanan itu turut mengeratkan hubungan dalam kalangan pekerja PONSB menerusi aktiviti e-sukan yang menekankan semangat kesukanan dan kerjasama berpasukan.


Leave a Reply