Editorial KampusKini
KUALA NERUS – Seramai 68 sukarelawan daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) digerakkan bagi membantu penduduk terjejas akibat banjir menerusi Misi Sukarelawan Pembersihan Banjir di Pulau Pangkor, Perak, dari 19 hingga 21 Oktober ini.
Misi itu melibatkan 39 sukarelawan UniSZA, terdiri daripada 30 pelajar dan sembilan staf, manakala UMT menghantar 29 sukarelawan, merangkumi 20 pelajar dan sembilan staf.
Majlis pelepasan pasukan sukarelawan berkenaan disempurnakan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan (CCoRM) UniSZA, Prof. Madya Dr. Syarilla Iryani Ahmad Saany, yang mewakili Naib Canselor UniSZA Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam.
Seramai 30 pelajar UniSZA dilaporkan bertolak lebih awal pada 18 Okt bagi menyertai operasi bantuan dan pembersihan di kawasan terjejas.
Misi berkenaan bertujuan membantu penduduk membersihkan kediaman, kemudahan awam dan kawasan persekitaran yang terjejas akibat banjir, sekali gus meringankan beban mereka dalam proses pemulihan pascabencana.
Penglibatan sukarelawan kedua-dua universiti itu turut menjadi wadah memupuk semangat kesukarelawanan, keprihatinan sosial dan kerjasama dalam kalangan warga institusi pengajian tinggi.
Kerjasama itu juga mencerminkan peranan universiti dalam menyokong usaha kemanusiaan melalui penglibatan secara langsung bagi membantu komuniti yang terjejas akibat bencana.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


Leave a Reply