oleh Editorial KampusKini
KOTA KINABALU– Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini memasuki fasa operasi komersial Sistem Solar Fotovolta berkapasiti 10.58 megawatt peak (MWp), sekali gus memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam menyokong agenda kelestarian kampus.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata sistem berkenaan mula beroperasi secara komersial pada 18 Sept lepas dan berpotensi menjadi tapak demonstrasi teknologi serta ruang pembelajaran dan penyelidikan berkaitan tenaga boleh diperbaharui.
Beliau berkata pelaksanaan sistem solar itu turut mencerminkan peranan institusi pendidikan tinggi dalam menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau di Sabah, selain membuka peluang kerjasama antara universiti, kerajaan, agensi dan industri.
“Projek ini bukan sahaja mencerminkan usaha universiti memanfaatkan teknologi hijau, malah berpotensi menjadi tapak demonstrasi teknologi serta ruang pembelajaran dan penyelidikan berkaitan tenaga boleh diperbaharui,” katanya ketika merasmikan Solar Fotovolta UMS, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf UMS, Dr. Azmi Abd. Majid berkata sistem solar berkenaan dibangunkan menerusi pemasangan panel solar di atas bumbung bangunan serta konsep Building Integrated Photovoltaic (BIPV), termasuk pada struktur berbumbung seperti kawasan parkir kenderaan di sekitar kampus.
Beliau berkata berdasarkan perancangan asal projek, sistem berkenaan diunjurkan berpotensi memberikan penjimatan kos elektrik sehingga kira-kira RM65 juta sepanjang tempoh projek selama 25 tahun.
Pelaksanaan sistem Solar Fotovolta UMS itu merupakan antara usaha universiti memperkukuh penggunaan tenaga bersih serta mengintegrasikan teknologi tenaga boleh diperbaharui dalam ekosistem kampus, selain menyediakan ruang bagi aktiviti akademik dan penyelidikan berkaitan teknologi hijau.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Sabah (UMS)


Leave a Reply