Home / Rencana / Pendiam atau Takut Bercakap? Memahami Kebimbangan Komunikasi dalam Kalangan Mahasiswa

Pendiam atau Takut Bercakap? Memahami Kebimbangan Komunikasi dalam Kalangan Mahasiswa

oleh Marcus Kho Gee Whai

Seorang mahasiswa rancak berbual dan bergurau dengan rakan-rakannya sebelum kuliah bermula. Namun, apabila diminta membentangkan tugasan di hadapan kelas, tangannya mula menggeletar, suaranya tersekat-sekat dan fakta yang telah dihafal tiba-tiba hilang daripada ingatan. Mengapakah seseorang yang petah berbual boleh menjadi begitu gementar apabila berhadapan dengan khalayak?

Situasi ini mungkin berkaitan dengan kebimbangan komunikasi, iaitu perasaan takut atau cemas ketika seseorang berkomunikasi atau menjangkakan dirinya perlu berkomunikasi dengan orang lain. Namun, mahasiswa yang kurang bersuara tidak semestinya mengalami kebimbangan tersebut. Ada yang lebih selesa mendengar, manakala yang lain sebenarnya ingin bercakap tetapi takut terhadap reaksi orang di sekelilingnya.

Pendiam, introvert dan pemalu sering dianggap membawa maksud yang sama, sedangkan terdapat perbezaan antara ketiga-tiganya. Pendiam menggambarkan tingkah laku seseorang yang kurang bercakap. Individu introvert pula mungkin lebih gemar berfikir sebelum memberikan respons dan selesa berinteraksi dalam kumpulan kecil. Sebaliknya, individu pemalu mungkin ingin menyertai perbualan tetapi bimbang akan melakukan kesilapan atau menerima penilaian negatif.

Kebimbangan komunikasi pula boleh dialami oleh sesiapa sahaja, termasuk individu yang peramah. Seseorang mahasiswa mungkin selesa berbual bersama rakan-rakan tetapi berasa takut apabila perlu berucap di hadapan pensyarah dan seluruh kelas.

Dalam satu kajian melibatkan 62 pelajar politeknik di Sarawak, sebanyak 71 peratus responden mengalami kebimbangan komunikasi pada tahap sederhana, manakala hampir 23 peratus berada pada tahap tinggi ketika melakukan pembentangan lisan.

Kajian lain yang melibatkan 373 pelajar politeknik pula mendapati bahawa faktor khalayak mencatatkan skor tertinggi antara lima faktor kebimbangan komunikasi yang dikaji. Antara perkara yang membimbangkan pelajar ialah berucap di hadapan individu yang tidak dikenali, jumlah pendengar yang ramai dan kemungkinan ditertawakan apabila melakukan kesilapan.

Bayangkan seorang mahasiswa yang telah membuat persediaan rapi tetapi mula hilang tumpuan apabila melihat beberapa orang pendengar berbual sesama sendiri. Dia mungkin tertanya-tanya sama ada penerangannya membosankan atau mengandungi kesilapan, sedangkan reaksi tersebut belum tentu berkaitan dengan pembentangannya.

Oleh itu, pensyarah boleh menyediakan peluang latihan dalam kumpulan kecil sebelum pembentangan formal dan memberikan maklum balas yang khusus terhadap aspek penyampaian yang boleh diperbaiki. Mahasiswa juga perlu diberi ruang untuk mengembangkan kemahiran komunikasi mengikut keperluan mereka tanpa menganggap semua individu mempunyai gaya penyampaian yang sama.

Kembali kepada mahasiswa yang rancak berbual sebelum kuliah tetapi terdiam apabila diminta membentangkan tugasan, kita tidak boleh terus menganggapnya tidak bersedia atau kurang berpengetahuan. Mungkin dia memahami kandungannya, tetapi masih bergelut dengan kebimbangan ketika berhadapan dengan khalayak.

Sebelum melabel mahasiswa sebagai pendiam, tanyalah terlebih dahulu: adakah dia memilih untuk tidak bercakap, atau sebenarnya ingin bercakap tetapi berasa takut?

Penulis merupakan Pensyarah Bahasa Inggeris di Jabatan Pengajian Am, Politeknik Kuching Sarawak.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:19


Maghrib

19:00


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM