Home / Utama / UNIMAS tuan rumah SAKAT 2026, himpun pakar sastera Asia Tenggara

UNIMAS tuan rumah SAKAT 2026, himpun pakar sastera Asia Tenggara

oleh Muhammad Qhidir Mat Isa

KOTA SAMARAHAN – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjadi tuan rumah Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2026 yang menghimpunkan pakar kesusasteraan Melayu dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura.

Seminar anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), UNIMAS, dengan penyertaan lebih 200 ahli akademik, penggiat sastera dan pelajar.

Bertemakan “Mengimbangi Kecerdasan Buatan dengan Kecerdasan Semula Jadi dalam Sastera”, SAKAT 2026 membincangkan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta kesannya terhadap dunia kesusasteraan dan nilai kemanusiaan.

Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dato’ Dr Haji Jeniri Amir, ketika menyampaikan ucaptama bertajuk “Landskap Kesusasteraan Asia Tenggara: Realiti Empirikal dan Suara Serantau” berkata AI berupaya meniru gaya penyair serta menghasilkan metafora yang menarik.

Namun, beliau berkata teknologi berkenaan tidak memiliki pengalaman, sejarah, perasaan dan renungan jiwa yang menjadi sebahagian daripada pengalaman seorang pengarang.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP merangkap Pengerusi Mastera Malaysia, Datuk Dr Hazami Jahari berkata SAKAT bukan sekadar wadah perkongsian ilmu, malah menjadi medan untuk memperkukuh peranan sastera dalam menyuburkan nilai kemanusiaan.

Beliau turut menyifatkan penganjuran SAKAT 2026 sebagai sesuatu yang membanggakan kerana seminar kesusasteraan bertaraf antarabangsa itu memasuki edisi ke-30 dan buat julung kalinya berlangsung di Sarawak.

Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Ahmad Hata Rasit, turut hadir sebagai tetamu kehormat, mencerminkan sokongan pengurusan tertinggi universiti terhadap kerjasama strategik antara UNIMAS dan DBP dalam bidang bahasa, sastera serta kebudayaan.

Penganjuran SAKAT 2026 turut mengukuhkan kedudukan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi UNIMAS sebagai rakan strategik DBP di Borneo dalam memperkasa bidang bahasa, sastera dan kebudayaan.

UNIMAS dalam kenyataan memaklumkan universiti itu komited memperkukuh kerjasama dengan DBP bagi memastikan khazanah persuratan serantau terus dipelihara, dikembangkan dan dihargai.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:19


Maghrib

18:59


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM