Home / Gaya hidup / FSG UiTM semai cinta Rasul, erat ukhuwah warga fakulti

FSG UiTM semai cinta Rasul, erat ukhuwah warga fakulti

oleh Fairus Muhamad Darus

SHAH ALAM – Hampir 150 warga Fakulti Sains Gunaan (FSG), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menyertai Program FSG Berselawat dan Tazkirah Khas “Menjemput Rindu” bagi menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW serta mengeratkan hubungan sesama warga fakulti.

Program anjuran FSG melalui Kelab Staf FSG PADU itu berlangsung pada 10 September 2026 di Dewan Anjung Sri Budiman (Annex), UiTM Shah Alam, sempena sambutan Maulidur Rasul 1448H.

Bertemakan “Menyemai Mahabbah Rasulullah SAW, Memperkukuh Ukhuwah Warga FSG”, program berkenaan menghimpunkan barisan pengurusan, pensyarah dan staf pentadbiran menerusi tazkirah, persembahan kerohanian serta aktiviti berkaitan Maulidur Rasul.

Dekan FSG, Prof. Dr. Mohd Rozi Ahmad berkata, aktiviti di luar urusan kerja harian memberi ruang kepada staf untuk berinteraksi dan memperkukuh hubungan sesama mereka.

“Kerjasama dalam kalangan staf bukan sahaja dibentuk semasa urusan kerja seharian, malah ukhuwah yang lebih erat dapat dijalin melalui aktiviti seperti FSG Berselawat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Staf FSG PADU yang menerajui penganjuran program tersebut.

Antara pengisian utama ialah tazkirah khas “Menjemput Rindu” oleh Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Ustaz Dr. Shahridzan Syed Mohamed, yang mengajak peserta menghayati sirah dan meneladani akhlak Rasulullah SAW.

Majlis turut menampilkan Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Islam UiTM, Ustaz Faizan Tajuid serta kumpulan nasyid FSG, Soul Hijrah. Tayangan montaj dan kuiz Maulidur Rasul melengkapkan pengisian, dengan persembahan qasidah, nasyid dan selawat menjadi kemuncak sambutan.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Staf FSG PADU, ChM Dr. Hairul Amani Abdul Hamid berkata, penganjuran itu turut memberi penekanan kepada penghayatan terhadap keperibadian Rasulullah SAW.

“Program ini bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan staf, malah menjadi wadah untuk menyemai rasa cinta kepada Rasulullah SAW, bersesuaian dengan tema program,” katanya.

Pengarah Program, Mohd Sahari Mohamad Sater berkata, kehadiran hampir 150 peserta memenuhi sasaran penganjur. Usaha menggalakkan penyertaan turut dibantu pasukan publisiti yang menghasilkan video kira detik setiap hari menjelang program.

Menurut beliau, kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian, termasuk melaksanakan amanah kerja dengan jujur, berinteraksi secara santun dan mengamalkan sunnah Baginda.

“Saya berharap majlis ini menjadi titik tolak untuk kita membawa nilai-nilai murni Rasulullah SAW ke dalam budaya kerja dan sahsiah diri warga FSG,” katanya.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:19


Maghrib

18:59


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM