oleh Editorial KampusKini
KOTA KINABALU– Seramai 4,933 mahasiswa baharu mendaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi sesi akademik 2026/2027 yang bermula hari ini.
Pendaftaran itu menandakan permulaan perjalanan akademik mahasiswa baharu UMS yang disambut menerusi Majlis Suai Mesra (MSM) di Dewan Canselor UMS, di sini.
Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Hj Mansur menyempurnakan majlis pembukaan MSM yang menjadi platform pengenalan mahasiswa baharu kepada persekitaran serta kehidupan kampus.
Dalam usaha memperkukuh pembangunan mahasiswa, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UMS turut melancarkan Student Digital Information Center (SDIC) dan My Student Development Point (MyDSP 2.0).
Kedua-dua inisiatif berkenaan bertujuan memudahkan mahasiswa mendapatkan maklumat, perkhidmatan serta peluang pembangunan kendiri secara lebih bersepadu sepanjang tempoh pengajian.
Pada majlis sama, UMS turut memperkukuh aspek kebajikan mahasiswa menerusi Inisiatif Bantuan Food Bank UMS dengan peruntukan RM2,000 kepada setiap fakulti dan kolej kediaman termasuk UMS-Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) serta Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Sandakan.
Bantuan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) itu bertujuan membantu mahasiswa yang menghadapi kekangan kewangan dan cabaran kos sara hidup, khususnya bagi mendapatkan keperluan makanan harian.
Inisiatif berkenaan mencerminkan usaha UMS memastikan aspek kebajikan dan keperluan asas mahasiswa diberi perhatian supaya kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada kelangsungan pengajian.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Sabah (UMS)


Leave a Reply