Home / Kampus / USIM perkenal USIMPay, perkasa ekosistem pembayaran digital

USIM perkenal USIMPay, perkasa ekosistem pembayaran digital

oleh Aina Farzana Azrul Anuar dan Nur Khadija Sulaiman

SEPANG – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkenalkan USIMPay, platform pembayaran digital bersepadu yang menggabungkan kepakaran kewangan Islam dan teknologi bagi menyediakan urusan transaksi yang lebih pantas, selamat dan efisien.

Majlis perasmian iBAF 2026 disempurnakan Pro Canselor USIM Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid Omar.

Platform itu diperkenalkan bersempena The 12th Islamic Banking, Accounting and Finance International Conference (iBAF 2026) di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, di sini baru-baru ini.

USIMPay dibangunkan menerusi inisiatif Payment Service Agent (PSA) Bank Islam Malaysia Berhad dengan kerjasama USIM PACE serta kepakaran akademik daripada Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) dan Fakulti Sains dan Teknologi (FST).

Timbalan Pendaftar USIM PACE Ashikin Abdullah berkata USIMPay membolehkan universiti berperanan sebagai penghubung antara peniaga dengan sistem transaksi, sekali gus memudahkan pengurusan urusan kewangan melalui satu platform.

“USIMPay merupakan satu usaha dan inisiatif USIM dalam membangunkan sebuah platform bagi memudahkan transaksi antara peniaga dengan sistem tersebut,” katanya.

Berbeza dengan sistem pembayaran yang hanya berfungsi memproses transaksi, USIMPay dibangunkan berasaskan konsep ekosistem pembayaran yang lebih fleksibel dan boleh disepadukan dengan aplikasi serta sistem digital sedia ada.

Platform berkenaan turut berpotensi digunakan bukan sahaja untuk transaksi komersial, malah dalam bidang kewangan Islam dan kewangan sosial Islam, selain membuka peluang penggunaannya oleh institusi, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor lain yang mempunyai keperluan transaksi khusus.

Projek yang diterajui Profesor Madya Dr Khairil Faizal Khairi bersama pasukan pensyarah FEM itu menyasarkan peluasan penggunaan USIMPay kepada lebih ramai peniaga di seluruh Malaysia sebelum dikembangkan ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Naib Canselor USIM Prof Datuk Ts. Dr Sharifudin Md Shaarani berkata platform berkenaan berpotensi memudahkan urusan transaksi warga universiti, khususnya mahasiswa dan staf, selain perlu terus diperkasakan bagi memperluas manfaatnya.

“Dengan adanya USIMPay, ia akan memudahkan pelajar, staf dan juga transaksi, dan saya berharap inisiatif ini akan diteruskan serta diperkukuh supaya menjadi lebih baik dan mantap,” katanya.

Pengenalan USIMPay mencerminkan usaha universiti menggabungkan kepakaran akademik, inovasi teknologi dan kerjasama industri untuk menghasilkan penyelesaian kewangan digital yang boleh diterapkan dalam penggunaan sebenar.

Sementara itu, iBAF 2026 bertemakan “Future-Ready Islamic Accounting, Banking and Finance: Integrating Artificial Intelligence, Sustainability and Governance” menghimpunkan kira-kira 400 peserta dari beberapa negara termasuk Maghribi, Turkiye, Nigeria dan Arab Saudi.

Persidangan itu turut menyaksikan pembentangan 131 kertas kerja yang melibatkan penyertaan beberapa institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa.

Photo credit dan sumber: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *