Oleh: Ahmad Safarman Dollah
Kota Bharu- Sambutan Maulidur Rasul peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera berlangsung meriah dan penuh penghayatan menerusi program bertemakan “Madani Dihayati, Ummah Diberkati” yang dianjurkan Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, baru-baru ini.
Program yang berlangsung pada 26 Ogos itu bermula dengan perhimpunan warga sekolah di Dewan Aman Perdana pada jam 7.45 pagi sebelum diteruskan dengan pelbagai pengisian kerohanian seperti ceramah Maulidur Rasul, bacaan doa, ucapan Guru Besar dan persembahan nasyid.
Guru Besar SK Mentera, Ruzaini Ab Sattar berkata, sambutan tersebut penting dalam memberikan kefahaman kepada murid mengenai sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW, termasuk kelahiran, perjuangan dan jasa besar baginda dalam menyebarkan syiar Islam.
“Program ini bukan sekadar memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, malah menjadi medium untuk menyemai rasa cinta, kasih dan hormat murid terhadap Rasulullah SAW serta menggalakkan mereka mencontohi akhlak mulia dan sunnah baginda dalam kehidupan seharian,” katanya.
Antara pengisian yang paling mendapat perhatian ialah perarakan Maulidur Rasul yang bermula dari padang sekolah menuju ke jalan belakang sekolah sebelum meneruskan perjalanan melalui kawasan kebun dan tali air serta berakhir di Masjid Banggu.
Sepanjang perarakan, murid dan guru bersama-sama mengalunkan selawat memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW sambil menikmati suasana persekitaran kampung yang menghijau dengan pemandangan kebun, sawah dan tali air yang menenangkan.
Menurut Ruzaini, pengisian seperti perarakan, selawat, ceramah dan persembahan nasyid bukan sahaja menjadikan sambutan lebih menarik, malah memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada murid dalam menghayati keperibadian serta perjuangan Rasulullah SAW.
Persembahan nasyid “Dia Kekasih Allah” yang disampaikan lapan murid Tahap Dua turut mencuri perhatian warga sekolah. Alunan suara dan penghayatan mereka terhadap lirik lagu tersebut berjaya menyentuh hati serta menyemarakkan lagi suasana kecintaan terhadap Rasulullah SAW.
Sambutan Maulidur Rasul itu turut mendapat kerjasama erat daripada seluruh warga SK Mentera yang bersama-sama menjayakan program dalam suasana penuh tertib, harmoni dan penghayatan. Pihak sekolah merakamkan penghargaan kepada semua guru, murid dan pihak yang memberikan sokongan serta kerjasama bagi memastikan sambutan tahun ini berlangsung lancar dan meninggalkan kenangan bermakna kepada seluruh warga sekolah.


Leave a Reply