Home / Gaya hidup / SK Mentera hasilkan 12 mural sempena Bulan Kebangsaan

SK Mentera hasilkan 12 mural sempena Bulan Kebangsaan

oleh Editorial KampusKini

Kota Bharu – Sebanyak 12 mural kreatif dihasilkan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Mantera, Kota Bharu sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2026, sekali gus mencetuskan suasana meriah dan penuh semangat patriotik dalam kalangan murid.

Guru Besar SK Mentera, Ruzaini Ab Sattar, berkata program berkenaan merupakan satu inisiatif baharu yang julung kali diadakan bagi memberi peluang kepada murid menzahirkan kreativiti melalui karya seni bertemakan patriotisme.

“Program ini bukan sahaja dapat menceriakan kawasan sekolah, malah memberi ruang kepada murid untuk bekerjasama, berkreativiti dan menghayati erti kemerdekaan melalui penghasilan karya seni.

“Penglibatan murid dalam aktiviti seperti ini amat penting kerana mereka dapat belajar dalam suasana yang menyeronokkan, selain memupuk rasa cinta dan bangga terhadap negara,” katanya.

Program anjuran Unit Kokurikulum itu turut mendapat kerjasama Pusat Sumber Sekolah, Panitia Sejarah, Muzik, Pendidikan Seni Visual (PSV), Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Bahasa Melayu (BM) serta Bahasa Inggeris (BI).

Seramai 270 murid Tahap 1 dan Tahap 2 terlibat dalam penghasilan mural berkenaan yang menggunakan kain putih sepanjang satu meter bagi Tahap 1, manakala dua meter bagi Tahap 2.

Murid diberi kebebasan menghasilkan mural mengikut kreativiti masing-masing dengan menggunakan warna air dan cat plaka.

Lebih menarik, murid turut menggunakan jari dan tapak tangan untuk mengecap warna pada kain putih, sekali gus menghasilkan corak dan rekaan yang unik serta berwarna-warni.

Aktiviti berkenaan ternyata mendapat sambutan menggalakkan apabila murid kelihatan begitu seronok sepanjang proses penghasilan mural, manakala guru kelas pula bertindak sebagai pembimbing bagi membantu murid merealisasikan idea masing-masing.

Kreativiti murid turut terserlah menerusi pelbagai rekaan yang menggambarkan semangat patriotik dan kecintaan terhadap negara.

Kesemua kelas menyambut baik hasrat penganjuran program berkenaan sebagai salah satu cara meraikan Bulan Kebangsaan dalam suasana yang lebih kreatif dan bermakna.

Mural yang siap dihasilkan kemudiannya digantung pada pagar sekolah untuk tatapan warga sekolah dan pengunjung sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan.

Program berkenaan bukan sahaja menjadikan persekitaran SK Mentera lebih ceria, malah berjaya menyemarakkan semangat patriotisme, kreativiti dan kerjasama dalam kalangan murid.

 

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *