HANG TUAH JAYA – Semarak Bulan Kemerdekaan terus bergema menerusi penganjuran Program Fun Walk Jiwa Merdeka 2.0 @ Parlimen Hang Tuah Jaya yang berlangsung meriah di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES), semalam.
Program anjuran kawasan parlimen berkenaan yang berfokuskan pemerkasaan anak muda itu berjaya menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta tempatan. Aktiviti ini bertujuan memupuk gaya hidup sihat, meningkatkan kecergasan fizikal, serta memperkukuh semangat kebersamaan dan patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Turut mencuri tumpuan ialah penyertaan delegasi Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (ICYM) yang mengetengahkan semangat luar biasa. Meskipun sudah berusia 65 tahun, Ketua Eksekutif ICYM, Aminalrashid Mohd Hussain, tampil penuh teruja dan bersemangat mengetuai kontingen kolej berkenaan bersama pegawai pengiring, Sahizam, serta 20 orang mahasiswa ICYM.
Lebih membanggakan, kontingen ICYM membuktikan kecekalan mereka apabila menjadi antara kumpulan terawal sampai ke garisan penamat bagi melengkapkan laluan sejauh 2 kilometer (dua pusingan Dataran Sejarah) sebelum menerima pingat penghargaan “Finisher Fun Walk 2.0”.
Program berkenaan turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli, yang bersama-sama melengkapkan aktiviti tersebut.
Kehadiran wakil kepimpinan dan penuntut ICYM ini membuktikan bahawa semangat kemerdekaan serta gaya hidup sihat mampu menyatukan pelbagai lapisan umur demi membina masyarakat yang cergas dan bersatu padu.
Photo credit dan sumber: Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (ICYM)


Leave a Reply