oleh editorial KampusKini
BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima sumbangan Zakat Wakalah berjumlah RM80,000 daripada empat entiti korporat bagi menyokong agenda kebajikan universiti sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Universiti Tahun 1448H/2026M.
Sumbangan itu disampaikan oleh Koperasi Generasi FELDA Baru Berhad, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Kredit Pengguna dan Syarikat Perumahan Pegawai Kerajaan Sdn. Bhd. pada majlis yang dihadiri hampir 1,500 warga UKM.
Majlis anjuran Pusat Islam UKM itu dimulakan dengan perarakan Maulidur Rasul melibatkan 20 kontinjen, yang turut disertai Naib Canselor UKM Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh bersama pengurusan tertinggi universiti.
Bertemakan “Madani Dihayati, Ummah Diberkati”, sambutan berkenaan bertujuan menyemai kecintaan terhadap Rasulullah SAW selain menghayati nilai murni dan syiar Islam dalam kalangan warga universiti.
Pada majlis sama, Yayasan Canselor UKM buat julung kalinya menyampaikan Anugerah Tokoh Wakaf UKM 2026 kepada Prof. Madya ChM. Dr. Nur Hasyareeda Hassan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen beliau dalam membudayakan amalan wakaf di universiti.
Turut disampaikan Anugerah Uswah Hasanah kepada empat penerima, masing-masing Prof. Dr. Rohaizak Muhammad bagi Anugerah Abu Bakar As-Siddiq, Syarikat Tokkmungg Sdn. Bhd. bagi Anugerah Uthman Ibnu Affan, Prof. Madya Dr. A’dawiyah Ismail bagi Anugerah Khadijah bt. Khuwailid dan Mohammad Shalahuddin Zakir Abdul Razak bagi Anugerah Ali Ibnu Abu Talib.
Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan qasidah Maulidur Rasul oleh Kumpulan Nasyid Lasyka Khaleefa serta Tausiah Khas Maulidur Rasul yang disampaikan penceramah jemputan Al-Fadhil Ustaz Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim (PU Amin).
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Leave a Reply