oleh Editorial KampusKini
TANJONG MALIM – Seramai 737 graduan Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) daripada Sesi II 2024/2025 dan Sesi I 2025/2026 diraikan pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini semalam.
Graduan berkenaan terdiri daripada lima jabatan akademik PSIS iaitu Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Perdagangan serta Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Antara yang mencuri tumpuan ialah graduan Diploma Pengurusan Pelancongan Nur Azlina Sitosman yang menerima Anugerah Pengarah bagi Sesi II 2024/2025 pada Sidang Tiga, semalam.
Pencapaian itu melengkapkan kejayaan Nur Azlina selepas beliau menerima Anugerah Ketua Pengarah, iaitu pengiktirafan tertinggi pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah 2026, pada Sidang Satu, 24 September lalu.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bagi Sesi I 2025/2026, Muhammad Nazmi Ilman Mohd Nor pula menerima Anugerah Pengarah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang sepanjang tempoh pengajian.
Selain itu, enam graduan PSIS menerima anugerah khas pada Sidang Tiga yang mengiktiraf kecemerlangan dalam aspek akademik, kepimpinan, kesiapsiagaan industri dan sahsiah.
Alwin Aulia Mohd Afrizal Wendy daripada Diploma Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti menerima Anugerah Tan Sri Dato’ Dr Rozali Ismail, manakala Ahmad Rafael Fadlullah Ahmad Jais daripada Diploma Teknologi Maklumat menerima Anugerah Khas Kepimpinan.
Nur Fyka Alyssa Mohd Adzhar daripada Diploma Sains Kesetiausahaan dan Abdul Ilah Nazhan Abdul Jalil daripada Diploma Seni Bina masing-masing menerima Anugerah Khas Industri.
Sementara itu, Muhammad Irshad Noor Azman daripada Diploma Kejuruteraan Elektronik dan Farida Sofea Khairul Nizam daripada Diploma Kejuruteraan Alam Sekitar menerima Anugerah Akhlak Terpuji.
Kesemua penerima anugerah khas menerima wang tunai RM1,000 berserta plak kristal, manakala Alwin Aulia menerima wang tunai RM2,000, plak kristal, piala pusingan, jambangan bunga dan sijil penghargaan.
Penyampaian anugerah khas disempurnakan Pengerusi Emeritus dan Penasihat Kehormat Puncak Niaga Holdings Berhad merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri PSIS, Tan Sri Dato’ Dr Rozali Ismail.
Dalam majlis sama, Pengasas Asri Ahmad Academy merangkap Ahli Jawatankuasa Penasihat Industri PSIS, Datuk Mohd Asri Ahmad menerima Penganugerahan Tokoh Industri Politeknik Sultan Idris Shah 2026 atas sumbangan dalam memperkukuh hubungan institusi dengan pihak industri serta menyokong pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan.
Pengiktirafan yang diterima graduan PSIS mencerminkan pencapaian dalam aspek akademik, kemahiran teknikal, kepimpinan dan sahsiah, selain memperlihatkan peranan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran serta memenuhi keperluan industri.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS)


Leave a Reply