Home / Mahasiswa / 61 pelajar UMPSA berlepas ke China ikuti Program Ijazah Dual

61 pelajar UMPSA berlepas ke China ikuti Program Ijazah Dual

oleh Editorial KampusKini

SEPANG – Seramai 61 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berlepas ke China bagi mengikuti Program Ijazah Dual di Beijing Jiaotong University (BJTU) dan Tianjin University (TJU) bagi sesi akademik 2026/2027.

Menurut Naib Canselor UMPSA Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias, daripada jumlah itu, 45 pelajar akan melanjutkan pengajian di BJTU manakala 16 lagi mengikuti pengajian di TJU menerusi program berasaskan Pendidikan Rentas Negara (Transnational Education – TNE).

Beliau berkata Program Ijazah Dual bukan sekadar memberi tumpuan kepada pencapaian akademik, malah menjadi pemacu pembangunan modal insan negara dengan melahirkan graduan yang bersedia memasuki alam pekerjaan.

“Program Ijazah Dual UMPSA bukan sekadar mensasarkan pencapaian akademik, sebaliknya berperanan sebagai pemacu pembangunan modal insan negara dengan melahirkan graduan yang benar-benar ‘ready-to-work’,” katanya pada majlis pelepasan pelajar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata keberkesanan program itu turut dibuktikan menerusi kohort pertama yang mencatat kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus, dengan kebanyakannya menceburi bidang kejuruteraan rel dan sektor berkaitan.

Menurutnya, pengalaman pengajian di China memberi pendedahan kepada pelajar terhadap teknologi, inovasi dan persekitaran pendidikan global, selain memperkukuh kemahiran insaniah serta meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Program Ijazah Dual UMPSA-BJTU dibangunkan menerusi kurikulum bersepadu yang memberi penekanan kepada teknologi rel moden, sistem keselamatan, pendigitalan serta pematuhan piawaian antarabangsa.

Kerjasama dengan TJU pula memberi pendedahan kepada pelajar dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan, termasuk pengalaman pembelajaran yang menggabungkan perspektif akademik Malaysia dan China.

“Pengalaman berkenaan membolehkan pelajar memahami teknologi rel termaju dan amalan industri terbaik, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka untuk menyumbang dalam reka bentuk, operasi serta penyelenggaraan sistem rel moden.

“Program itu turut menyokong keperluan tenaga mahir tempatan bagi projek East Coast Rail Link (ECRL), yang dijangka menjadi antara pemangkin pertumbuhan ekonomi di Pantai Timur, khususnya Pahang,” katanya.

UMPSA kini merupakan satu-satunya universiti awam yang melaksanakan 12 Program Ijazah Dual berasaskan model TNE dengan rakan strategik dari Jerman, China, Korea Selatan dan Kazakhstan.

Menerusi program berkenaan, pelajar berpeluang memperoleh dua ijazah daripada dua institusi pengajian tinggi berbeza, sekali gus meningkatkan daya saing mereka di peringkat global.

Hadir sama pada majlis pelepasan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA Prof. Ts. Dr. Kamal Yusoh serta wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Yayasan Daya Diri.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:19


Maghrib

19:00


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM